KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mahu memastikan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) tidak menghakis hak autonomi imigresen negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata pendirian itu telah disampaikan menerusi surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk untuk mengekalkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah sebagai agensi mengawal pintu masuk negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri juga berpendirian pengeluaran notis Not-To-Land (NTL) perlu dikekalkan di bawah bidang kuasa jabatan itu.
Beliau berkata walaupun akta itu di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, pendirian kerajaan negeri bertujuan memastikan pelaksanaannya oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak menjejaskan hak autonomi negeri seperti termaktub di bawah Artikel V Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan negeri menegaskan kuasa imigresen kepada Sabah yang termaktub di bawah Artikel V MA1963 ialah kuasa yang tidak boleh dirunding,” katanya semasa menjawab soalan lisan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (GRS-Tamparuli) yang ingin tahu alasan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan akta itu di negeri tersebut.
Joniston berkata pendirian kerajaan negeri itu juga penting bagi memastikan jaminan perlindungan dari segi Perlembagaan mengenai kedudukan Sabah sentiasa dipelihara.
“Kerajaan negeri menekankan agar tiada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa-kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.
Pada 13 Mei, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan dasar serta pelaksanaan akta itu sehingga memperoleh jaminan tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri dan pihak berkuasa Sabah.
Hajiji berkata kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan penubuhan Malaysia di bawah MA63 tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen bagi dua negeri berkenaan.
-- BERNAMA