KEMAMAN: Dua lelaki warga asing termasuk seorang etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup tiga migran warga Myanmar, April lepas.
Mohamad Ismail Mohamad Siddik, 32, dan warga Thailand, Muhammadtaofit, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup tiga lelaki warganegara Myanmar di Kilometer 255.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) kawasan Perasing menghala ke Kuala Lumpur pada 11.30 pagi, 24 April lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Ogos depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA