SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan masih berlangsung seperti biasa meskipun berlaku perubahan landskap politik di Negeri Sembilan.
Berucap pada program Jelajah Kekal Harapan sempena Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16), Anwar berkata beliau bersama pemimpin parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan terus menghadiri mesyuarat Kabinet seperti kebiasaan.
“Daripada tadi saya, selain daripada Mat Sabu (Datuk Seri Muhamad Sabu) Anthony Loke, dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan lain-lain, semua bermesyuarat Jemaah Menteri seperti biasa. Dalam hati siapa yang tahu?” katanya.
Anwar bagaimanapun menegaskan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal stabil dan berharap keadaan itu dapat dikekalkan sehingga pilihan raya akan datang.
“Memang betul, politik di Malaysia tak semena-mena dikejutkan dengan perubahan baharu. Kerana Kerajaan Perpaduan stabil, ekonomi melonjak, pelaburan datang, tetapi tak semena-mena ada keretakan di peringkat negeri.
“Di peringkat pusat belum lagi. Mudah-mudahan, Insya-Allah kekal sampai pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata kestabilan politik perlu terus dipertahankan bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas serta keyakinan pelabur kekal kukuh.
Menurut Anwar, ketidaktentuan politik boleh memberi kesan langsung terhadap kemasukan pelaburan dan akhirnya menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Saya mendukung tindakan begitu untuk menjaga supaya kita stabil, ekonomi kita itu jangan terganggu. Kerana banyak negara pincang apabila politik tidak stabil.
“Bila politik tidak stabil, pelabur tak datang. Yang sengsara rakyat,” katanya lagi.