Skip to main content

Dunia

AS tandatangani perjanjian nuklear bersejarah dengan Arab Saudi

Saudi Crown Prince and Prime Minister Mohammed bin Salman holds President Donald Trump's hand during a meeting in the Oval Office, November 18. REUTERS/Evelyn Hockstein Purchase Licensing Rights
Di bawah perjanjian itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan tidak meletakkan syarat bagi Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, untuk mengiktiraf Israel secara diplomatik. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menandatangani satu perjanjian bersejarah yang dijangka membuka laluan kepada kerajaan Teluk itu untuk membangunkan program tenaga nuklear awamnya sendiri.

Perjanjian yang digambarkan sebagai “kerjasama nuklear aman” itu akan memberi akses lebih besar kepada syarikat-syarikat AS dalam program tenaga nuklear Arab Saudi, menurut kenyataan Setiausaha Tenaga AS. 

Kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian perlindungan dua hala yang menjadi asas perundangan kepada kerjasama strategik bernilai berbilion dolar untuk tempoh beberapa dekad akan datang.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan bertujuan memenuhi pelbagai kepentingan ekonomi dan strategik, termasuk memperkukuh usaha mencegah percambahan senjata nuklear serta meningkatkan keselamatan tenaga serantau.

Butiran khusus mengenai perjanjian tersebut tidak didedahkan. 

Namun, laporan media sebelum ini menyebut Arab Saudi mungkin dibenarkan memperkayakan uranium di negara itu sendiri bagi menghasilkan bahan api nuklear di kemudahan yang dibangunkan dengan kerjasama AS, berbanding bergantung kepada import bahan api dari luar.

Langkah itu berpotensi membawa manfaat ekonomi yang besar kepada AS kerana syarikat-syarikat negara itu boleh terlibat dalam pembinaan kemudahan pengeluaran uranium diperkaya yang digunakan sebagai bahan api loji janakuasa nuklear. 

Namun, bahan yang sama juga berpotensi digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear jika disalahgunakan.

Washington menegaskan perjanjian itu akan memperkukuh keselamatan AS dan rantau berkenaan melalui pematuhan kepada piawaian tertinggi keselamatan, sekuriti dan kawal selia nuklear, selain mengukuhkan daya saing teknologi nuklear awam negara itu.

“Yakinlah bahawa perjanjian ini mematuhi piawaian tertinggi keselamatan nuklear dan pencegahan percambahan senjata nuklear, sambil menggunakan teknologi dan kepakaran nuklear terbaik dunia yang dibangunkan di Amerika Syarikat,” kata Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu sebagai sebahagian daripada kebangkitan semula industri nuklear AS yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua negara.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar nuklear dan bekas pegawai di Israel, sekutu paling rapat AS di Asia Barat. 

Mereka bimbang ia akhirnya membuka ruang kepada Arab Saudi untuk membangunkan senjata nuklear pada masa depan.

Perjanjian itu kini akan dihantar ke Kongres AS untuk semakan, dan dijangka menerima tentangan daripada sebahagian ahli politik daripada kedua-dua parti, meskipun Parti Republikan yang dipimpin Presiden Donald Trump menguasai Dewan Perwakilan dan Senat.

Peruntukan membenarkan pengayaan uranium itu membezakan perjanjian ini daripada perjanjian nuklear yang dimeterai antara AS dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2009. 

Di bawah perjanjian tersebut, UAE tidak dibenarkan menghasilkan bahan api nuklearnya sendiri dan tertakluk kepada beberapa sekatan tambahan.

Atas sebab itu, kumpulan pendukung pencegahan percambahan senjata nuklear turut dijangka menyuarakan kebimbangan kerana objektif utama mereka adalah menghalang pertambahan jumlah senjata nuklear di seluruh dunia.

Menurut laporan media AS, perjanjian itu telah mendapat kelulusan Presiden Trump. 

Sekiranya Washington selepas kajian bersama memutuskan untuk tidak membenarkan pengayaan uranium di Arab Saudi, negara itu tidak boleh menjalankan aktiviti tersebut secara bersendirian atau dengan rakan asing lain selama tempoh 10 tahun.

Perjanjian berkenaan juga dilaporkan tidak dikaitkan dengan syarat Arab Saudi perlu menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel, sekali gus berbeza daripada aspirasi beberapa pentadbiran AS sebelum ini yang berusaha merapatkan hubungan antara Riyadh dan Tel Aviv.

Isu nuklear terus menjadi topik utama dalam ketegangan antara AS, Israel dan Iran. 

Washington dan Tel Aviv mendakwa tindakan ketenteraan terhadap Iran sebelum ini bertujuan menghalang negara itu daripada memperoleh senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan Tehran.

Pada 2018, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berkata, negaranya tidak bercadang memiliki senjata nuklear. 

Namun beliau memberi amaran bahawa jika Iran berjaya membangunkan bom nuklear, Arab Saudi akan mengambil langkah yang sama “secepat mungkin.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement