Skip to main content

Malaysia

Ekonomi manusiawi jadi asas Belanjawan 2027 - PM Anwar

ANWAR IBRAHIM HUMANE ECONOMY
Anwar ketika berucap merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Prinsip ekonomi manusiawi akan menjadi antara pertimbangan utama kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan maruah, kesejahteraan dan peluang kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses penyediaan belanjawan tahun depan perlu mengambil kira persoalan asas mengenai tujuan sebenar pembangunan ekonomi, bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan, pelaburan atau produktiviti.

"Bulan depan, saya juga akan mula bergelut untuk merangka belanjawan bagi tahun hadapan yang dijangka dibentangkan pada awal Oktober. Alhamdulillah, walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan, saya tidak pernah hilang pandangan terhadap persoalan asas ini.

"Perkara itu perlu kita terapkan dalam kerangka Malaysia MADANI; belanjawan, pertumbuhan ekonomi, dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital tidak boleh mengenepikan usaha kita untuk mengembalikan tujuan moral dalam tadbir urus dan pembangunan.

"Ia bukan sekadar slogan yang diletakkan pada sepanduk, tetapi mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar, institusi dan tindakan," katanya ketika berucap merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan ekonomi manusiawi bukan bermaksud menolak kemodenan, perusahaan, pasaran atau teknologi, sebaliknya memastikan kemajuan tersebut meningkatkan keupayaan manusia tanpa menyebabkan lebih ramai tersisih.

Tegas beliau, Malaysia mesti kekal berdaya saing, produktif dan terbuka kepada pelaburan, namun kehidupan ekonomi mesti kembali dihubungkan dengan tujuan moral.

Anwar menambah, ekonomi juga perlu dilihat sebagai alat untuk mencapai kesejahteraan manusia dan bukannya matlamat akhir semata-mata.

"Tujuannya bukan hanya menghasilkan angka lebih tinggi, peningkatan penggunaan atau kekayaan yang tertumpu kepada segelintir pihak, tetapi membolehkan manusia hidup dengan maruah, keselamatan, tujuan dan harapan," katanya lagi.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata setiap keputusan besar kerajaan perlu dinilai berdasarkan persoalan sama ada pertumbuhan yang dicapai mampu memperluas peluang, mengukuhkan keluarga dan komuniti.

Beliau menjelaskan kemakmuran sebenar perlu diterjemahkan kepada pekerjaan bermakna, perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan yang mudah dicapai, pendidikan berkualiti, serta mobiliti sosial yang lebih baik.

Dalam pada itu, menurutnya, cabaran seperti krisis iklim, revolusi teknologi, peningkatan jurang ketidaksamaan serta konflik dan kemiskinan global menuntut pendekatan baharu terhadap pembangunan ekonomi.

Bertemakan "Reclaiming Humanity for Shared Prosperity", HEGD 2026 yang berlangsung selama dua hari anjuran Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), menghimpunkan lebih 750 peserta termasuk penggubal dasar, ahli ekonomi, pemimpin perniagaan, serta ahli akademik.
 

Must Watch Video

Advertisement