WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth berdepan kritikan keras daripada beberapa senator berhubung strategi perang di Iran, ketika beliau memohon tambahan peruntukan pertahanan bernilai AS$87.6 bilion.
Dalam sesi pendengaran Jawatankuasa Peruntukan Senat pada Selasa, beberapa senator mempersoalkan hala tuju konflik itu serta kegagalan Washington menghapuskan sepenuhnya ancaman peluru berpandu Iran.
Senator Kirsten Gillibrand membangkitkan serangan peluru berpandu Iran ke atas Jordan yang mengakibatkan kehilangan nyawa anggota tentera AS.
Hegseth berkata pangkalan industri pertahanan Iran sudah hampir dimusnahkan, namun Teheran masih mempunyai kemudahan bawah tanah yang digunakan untuk menyembunyikan peluru berpandu dan keupayaan nuklearnya.
Gillibrand bagaimanapun berkata kenyataan pentadbiran Presiden Donald Trump mengenai perkembangan perang itu sering berubah dan mengelirukan rakyat AS.
“Saya tidak tahu versi perang yang mana harus dipercayai kerana sama ada perang ini sudah berakhir atau belum. Sama ada akan tamat dalam dua minggu atau tidak.
“Kita diberitahu mereka tiada peluru berpandu, tetapi kemudian mereka masih mempunyai peluru berpandu,” katanya.
Pertikaman lidah turut tercetus antara Hegseth dengan Senator Gary Peters selepas senator itu mempersoalkan ketiadaan strategi jangka panjang untuk memenangi perang.
Hegseth menyifatkan tindakan melabelkan usaha ketenteraan AS sebagai satu kegagalan sebagai tidak bertanggungjawab dan mencemarkan pengorbanan anggota tentera di medan perang.
“Memalukan apabila anda dan pihak lain menggelarnya sebagai perang yang tiada kesudahan dan satu kegagalan, kemudian mendakwa menyokong anggota tentera,” katanya.
Peters membalas dengan menegaskan kritikannya ditujukan kepada kepimpinan Pentagon dan bukannya anggota tentera yang menjalankan tugas di barisan hadapan.
“Anda yang gagal, bukannya anggota lelaki dan wanita di barisan hadapan.
"Jika tiada strategi untuk menang, mereka diletakkan dalam bahaya dan pemimpin mereka telah mengecewakan mereka,” katanya.
Hegseth kemudian menuduh anggota Demokrat enggan membiayai keperluan tentera dan bermain politik kepartian, manakala Peters menegaskan masalah sebenar bukan kekurangan wang tetapi kelemahan kepimpinan serta strategi.
Dalam pendengaran sama, Hegseth meminta Kongres meluluskan peruntukan tambahan AS$87.6 bilion bagi menyokong cadangan belanjawan pertahanan AS$1.5 trilion yang dikemukakan Trump.
Menurutnya, AS$21 bilion diperlukan bagi kesiapsiagaan, gaji anggota, penggantian peralatan dan sokongan operasi, manakala AS$46 bilion lagi untuk mempercepat pengeluaran senjata serta meningkatkan kapasiti industri pertahanan.
Beliau turut memberi amaran latihan ketenteraan semasa dan akan datang mungkin terpaksa dikurangkan sekiranya permohonan dana itu tidak diluluskan dengan segera.
Sesi pendengaran berkenaan turut terganggu beberapa kali oleh penunjuk perasaan ketika Hegseth menyampaikan ucapan pembukaannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump berkata AS akan menyerang kawasan Gunung Pickaxe berhampiran kemudahan pengayaan uranium Natanz yang mengalami kerosakan teruk dalam masa terdekat.
Gunung Pickaxe menempatkan dua kompleks terowong bawah tanah berkubu yang dipercayai berkaitan dengan program nuklear Iran.
Pakar menilai kemudahan berkenaan dibina terlalu dalam untuk dimusnahkan menggunakan bom pemusnah kubu paling berkuasa dalam simpanan AS.