Skip to main content

Dunia

Hampir 200 maut akibat wabak kolera di timur laut Nigeria

61603332953_Cholera.jpg
Kira-kira 200 orang maut akibat wabak kolera yang semakin buruk di negeri Borno, timur laut Nigeria sejak dua bulan lepas, menurut badan amal perubatan antarabangsa Doctors Without Borders (MSF) pada Rabu. - Gambar fail

ABUJA (NIGERIA): Kira-kira 200 orang maut akibat wabak kolera yang semakin buruk di negeri Borno, timur laut Nigeria sejak dua bulan lepas, menurut badan amal perubatan antarabangsa Doctors Without Borders (MSF) pada Rabu, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, MSF menyuarakan kebimbangan terhadap wabak itu sambil memberi amaran bahawa penyakit berkenaan boleh menyebabkan kemudahan kesihatan tempatan tidak mampu menangani peningkatan kes meskipun usaha tindak balas sedang dilaksanakan.

Setakat 12 Julai, sekurang-kurangnya 198 orang maut dan lebih 35,500 kes disyaki dilaporkan di negeri itu, menurut MSF yang memetik data dikeluarkan kerajaan negeri Borno.

Pertubuhan itu memaklumkan bahawa ia telah merawat lebih 24,000 pesakit yang disyaki menghidap kolera setakat 12 Julai dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan kerajaan dan rakan kongsi kemanusiaan.

MSF mengaitkan penularan berterusan penyakit itu dengan akses yang tidak mencukupi kepada air bersih, sanitasi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam kalangan komuniti terjejas.

Pada April, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Nigeria meletakkan 10 negeri dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi berhubung risiko wabak kolera yang dikaitkan dengan hujan lebat dan banjir.

Kerajaan Nigeria telah mengaktifkan sistem pengurusan insiden dan mengerahkan pasukan kesihatan ke kawasan terjejas.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement