Skip to main content

Malaysia

Konservasi Pulau Sembilan perlukan komitmen menyeluruh semua pihak

Raja Iskandar Dzurkarnain berkenan menyempurnakan penanaman pokok ambong-ambong di Pulau Lalang sempena Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan 2026 di sini pada Khamis. -- SINAR HARIAN
Raja Iskandar Dzurkarnain berkenan menyempurnakan penanaman pokok ambong-ambong di Pulau Lalang sempena Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan 2026 pada Khamis. - Gambar Sinar Harian

IPOH: Usaha konservasi alam sekitar di Pulau Sembilan memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak menerusi pendekatan keseluruhan masyarakat, termasuk penglibatan kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat bagi memastikan pemuliharaan ekosistem marin dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan.

Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak Lau Ching Fong dalam kenyataan berkata selain pemulihan dasar laut, aktiviti pembersihan pantai juga adalah manifestasi tanggungjawab bersama dalam menangani isu pencemaran marin.

“Sisa dan sampah yang dibuang secara tidak terkawal bukan sekadar mencacatkan pemandangan, malah memberi impak negatif yang buruk kepada rantaian makanan hidupan laut dan merosakkan ekosistem pesisir pantai, yang akhirnya akan memudaratkan manusia yang berada di kedudukan paling atas dalam rantaian makanan.

“Kami tidak dapat membersihkan semua sampah di lautan yang luas ini tetapi melalui aktiviti ini, diharapkan dapat memupuk kesedaran mendalam bahawa menjaga kebersihan alam sekitar bukan sekadar tugas agensi kerajaan tetapi amanah dan tanggungjawab setiap individu yang mendiami bumi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutup Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan 2026 di Taman Negeri Pulau Sembilan dekat Manjung hari ini.

Turut berkenan berangkat pada program itu ialah Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Dalam pada itu, Lau berkata Pulau Sembilan adalah khazanah alam yang amat bernilai bagi negeri Perak kerana kawasan itu mempunyai nilai biodiversiti marin yang penting untuk tujuan pemuliharaan dan sektor perikanan di perairan berkenaan.

Beliau berkata aktiviti melabuhkan struktur propagasi karang yang dijalankan hari ini adalah langkah proaktif dalam usaha memulihkan serta menambah semula litupan terumbu karang yang terjejas. 

“Terumbu karang adalah rumah kepada pelbagai jenis hidupan marin, usaha kami hari ini adalah pelaburan jangka panjang yang sangat bernilai demi kelestarian ekosistem marin pada masa hadapan. Kami sedang membina semula rumah untuk hidupan laut kita. 

“Terumbu karang yang sihat juga adalah satu daripada tunjang utama dalam menjamin sumber perikanan untuk sekuriti makanan dan menyokong industri pelancongan yang mampan demi limpahan ekonomi negeri,” katanya.

Program tahunan yang diadakan selama sehari anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak itu turut disertai penyelam sukarelawan dari Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Nature and Oceanography Advocate Society dan Sembilan Diver manakala pembersihan pantai disertai sukarelawan dari Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, APMM serta Persatuan Aktivis Sahabat Alam.

Rondaan sekitar Pulau Sembilan dilaksanakan bagi meninjau keadaan kawasan dan memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pematuhan serta perlindungan habitat sensitif. 

Pada program itu, Raja Iskandar Dzurkarnain turut berkenan menanam pokok ambong-ambong di Pulau Lalang selain menurunkan struktur propagasi karang dan melawat kawasan timbangan sampah pantai.

Sebanyak 1,288 kilogram sampah telah dikumpul dalam 163 beg pada program itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement