Skip to main content

Malaysia

Sektor pembuatan catat pertumbuhan kukuh di bawah NIMP 2030

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.
Sim berkata nilai tambah sektor pembuatan meningkat kepada RM101.3 bilion berbanding RM95.7 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan terus mencatat prestasi positif selepas dua tahun pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dengan nilai tambah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sektor itu meningkat 5.9 peratus pada suku pertama 2026.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin berkata nilai tambah sektor pembuatan meningkat kepada RM101.3 bilion berbanding RM95.7 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata sektor elektrikal dan elektronik (E&E) kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh kitaran peningkatan permintaan teknologi global serta pertambahan pengeluaran semikonduktor.

“Selain itu, subsektor produk petroleum bertapis turut mencatat sumbangan nilai ditambah kedua tertinggi berikutan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi, manakala segmen bahan kimia dan produk kimia berkembang selaras dengan pengukuhan permintaan industri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Sheikh`Umar Bagharib Ali mengenai perkembangan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta pencapaiannya dalam meningkatkan produktiviti dan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Sim, bilangan guna tenaga sektor pembuatan meningkat secara marginal sebanyak 0.04 peratus atau 1,000 orang pada suku pertama 2026, kepada 2.835 juta berbanding 2.834 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Peningkatan kecil ini mencerminkan pendekatan berhati-hati industri dalam pengambilan pekerja berikutan ketidaktentuan ekonomi global, selain peralihan kepada teknologi digital dan automasi,” katanya.

Beliau berkata gaji penengah sektor pembuatan meningkat kepada RM2,775 pada 2025 daripada RM2,659 pada 2024, pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus, selaras pertumbuhan sektor tersebut yang menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Mengenai program Smart Tech Up, Sim berkata sebanyak 32 kilang dikenal pasti sebagai kilang pintar di bawah program itu setakat 30 Jun 2026, manakala 61 syarikat lagi diiktiraf sebagai kilang pintar di bawah Program Pengiktirafan Kilang Pintar oleh SIRIM Bhd dan Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii). 

"Secara keseluruhan, 93 syarikat telah menerima pengiktirafan kilang pintar setakat 30 Jun 2026,” katanya.

“Tambahan 68 syarikat lagi akan diiktiraf sebagai kilang pintar menjelang Disember 2026 menerusi program Smart Tech Up, menjadikan jumlah keseluruhan kilang pintar kepada 161 syarikat," katanya.

Sementara itu, sebanyak 40 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC)  menerima manfaat daripada Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP 2030 (NIMP 2030 Strategic Co-Investment Fund, CoSIF) sehingga 30 Jun 2026.

“Kebanyakkan syarikat ini merupakan syarikat dari sektor seperti E&E, bahan kimia, farmaseutikal, pemprosesan makanan dan ICT, telah mendapatkan pembiayaan di bawah dana ini dengan jumlah suntikan kerajaan mencecah sehingga RM75 juta,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement