KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meraih dua pengiktirafan berprestij menerusi The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards (BMSPA) 2026, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam pengurusan aset hartanah berteraskan amalan mampan dan tadbir urus terbaik.
Menara TH Tun Razak dinobatkan sebagai pemenang kategori Bangunan Pejabat Bukan Strata (Non-Strata Office), manakala Menara Bank Islam memenangi kategori Bangunan Pejabat Milikan Tunggal dalam Pembangunan Strata Bercampur (Single-Owned Office in a Mixed Strata Development).
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam mengurus aset secara profesional, berintegriti dan mampan demi memastikan aset yang diamanahkan terus menjana nilai kepada lebih 9.8 juta pendeposit.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan pengurusan bangunan, malah menunjukkan keupayaan TH memenuhi standard industri yang tinggi dalam setiap aspek pengurusan asetnya.
“Sebagai institusi yang mengurus amanah umat Islam, setiap aset perlu dipelihara sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada para pendeposit, masyarakat dan negara untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan TH menggabungkan pengurusan aset yang matang dengan penggunaan teknologi moden, pendigitalan dan amalan kelestarian yang selaras dengan standard terbaik industri.
Menara TH Tun Razak yang direka arkitek terkenal Hijjas Kasturi dan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sejak 1985 terus diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan.
Antaranya termasuk menaik taraf kemudahan bangunan, pelaksanaan sistem parkir tanpa tunai berasaskan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, peningkatan aspek keselamatan dan akses, serta perancangan pemasangan sistem solar di bawah Pelan Pengurusan Aset Lima Tahun.
Pada masa sama, Menara Bank Islam terus mencatat kecemerlangan dalam pengurusan fasiliti menerusi penyelenggaraan proaktif, pemantauan berasaskan keadaan (condition-based monitoring) dan penggunaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer i-MANS yang meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan masa respons.
TH memaklumkan, pendekatan yang dilaksanakan berjaya memastikan kebolehpercayaan sistem kritikal bangunan termasuk bekalan air domestik, lif dan sistem pencegahan kebakaran, selain menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 6.6 peratus berbanding garis asas tenaga yang diselaraskan.
Pengurangan penggunaan tenaga itu dicapai menerusi pelaksanaan sistem automasi bangunan, pengoptimuman operasi sistem penyaman udara dan penggunaan lampu cekap tenaga.
Abdul Rashid berkata, pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada TH untuk terus memperkukuh pengurusan aset berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selain memanfaatkan teknologi serta inovasi bagi memastikan aset strategik kekal berdaya saing dan mampu mencipta nilai mampan kepada para pendeposit.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kumpulan TH atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memastikan aset-aset TH diurus mengikut standard tertinggi sehingga meraih pengiktirafan di peringkat industri.