NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, yang sebelum ini berikrar akan menangkap Benjamin Netanyahu sekiranya Perdana Menteri Israel tersebut melawat bandar itu, kini mengakui beliau tidak mempunyai “kuasa” untuk berbuat demikian.
Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Mamdani sebaliknya menggesa Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas Netanyahu atas dakwaan jenayah perang.
Secara teknikal, Netanyahu boleh ditahan dan diserahkan kepada ICC jika beliau berada di negara anggota mahkamah berkenaan.
Namun, AS bukan negara anggota ICC.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini menegaskan, Netanyahu tidak akan “ditangkap dalam apa jua bentuk dan keadaan” ketika berada di negara itu.
Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Isnin, Trump berkata, Netanyahu sedang berdepan ancaman daripada Republik Islam Iran yang didakwanya telah membunuh puluhan ribu penunjuk perasaan tidak bersalah serta bertanggungjawab terhadap kematian anggota tentera Amerika selama beberapa dekad.
Trump mengulas kenyataan Mamdani dalam temu bual bersama The New York Times pada Sabtu lalu, apabila Datuk Bandar itu mendedahkan, beliau sedang mengadakan “perbincangan aktif” dengan pihak penguat kuasa undang-undang mengenai kemungkinan melaksanakan waran tangkap ICC terhadap Netanyahu.
Bagaimanapun pada Selasa, Mamdani berkata, pasukannya telah meneliti “setiap saluran yang tersedia” di bawah undang-undang dan membuat kesimpulan bahawa pihak berkuasa bandar raya tidak mempunyai kuasa perundangan bebas untuk menguatkuasakan waran tersebut.
“Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa itu. Saya menggesa mereka menyertai ICC dan melaksanakan waran berkenaan,” katanya.
Dalam video sama, Mamdani menegaskan Netanyahu “tidak dialu-alukan” di New York City, yang dijangka menjadi lokasi kunjungan pemimpin Israel itu pada September sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada 2024 atas dakwaan jenayah perang di Gaza, selain turut mengeluarkan waran serupa terhadap seorang komander Hamas.
Mahkamah berkenaan mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa individu yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di wilayah negara yang menandatangani Statut Rom, iaitu perjanjian penubuhannya.
Sepanjang kempen pilihan raya Datuk Bandar New York, Mamdani berulang kali menggelar Netanyahu sebagai penjenayah perang dan menyifatkan konflik di Gaza sebagai satu bentuk genosid.
Beliau juga pernah menyatakan bahawa beliau akan mengarahkan polis menahan Netanyahu sekiranya pemimpin Israel itu tiba di bandar tersebut.
Dalam wawancara terdahulu sebagai calon Datuk Bandar, Mamdani berkata, beliau berhasrat untuk menunaikan janji itu sebagai tanda menghormati waran yang dikeluarkan ICC.
Kenyataan Mamdani dibuat ketika sokongan pengundi Parti Demokrat terhadap Israel dilihat semakin berubah.
Tinjauan terbaharu mendapati 58 peratus penyokong Demokrat berpandangan AS terlalu memihak kepada Israel, meningkat daripada 45 peratus pada 2024.
Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Danny Danon membidas kenyataan Mamdani dan berkata, tugas Datuk Bandar itu adalah untuk berkhidmat kepada rakyat New York, bukannya menyebarkan propaganda Hamas. - Agensi