SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mesti memperluas peranan melangkaui akreditasi, dokumentasi, pematuhan dan audit untuk menjadi penggerak utama transformasi serta membina kepercayaan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata jaminan kualiti pada masa kini mempunyai misi yang lebih luas dalam membina keyakinan, membolehkan inovasi, memperkukuh mobiliti dan melindungi reputasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi yang dipercayai pada peringkat antarabangsa.
“Bagi kebanyakan individu, jaminan kualiti sering dikaitkan dengan akreditasi, dokumentasi, pematuhan dan audit. Perkara ini kekal penting, tetapi ia tidak lagi mentakrifkan matlamat penuh jaminan kualiti.
“Hari ini, jaminan kualiti memikul misi jauh lebih besar. Ia membina keyakinan, membolehkan inovasi, memperkukuh mobiliti serta melindungi reputasi dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi yang dipercayai,” katanya.
Zambry berkata demikian semasa berucap pada perasmian Forum Presiden MQA (Universiti) 2026 yang bertemakan “RPTM 2026-2035: Mencorak Masa Depan Pendidikan Tinggi Malaysia dalam Era Transformasi Global” di sini hari ini.
Beliau berkata landskap pendidikan tinggi semasa memerlukan sistem jaminan kualiti yang tangkas, responsif, terhubung pada peringkat antarabangsa dan berorientasikan masa depan memandangkan laluan pembelajaran terus berkembang melangkaui kelayakan tradisional.
Beliau berkata pelajar pada masa kini semakin banyak menggabungkan ijazah universiti dengan pensijilan profesional, mengikuti program micro-credential dan melibatkan diri dalam pembelajaran sepanjang hayat, yang memerlukan sistem pendidikan tinggi menyesuaikan diri dengan bentuk pembelajaran dan pengiktirafan baharu.
“Di sinilah MQA memainkan peranan strategik nasional, bukan sekadar sebagai pengawal selia tetapi sebagai penggerak transformasi. Bukan semata-mata sebagai penjaga standard, tetapi sebagai pembina keyakinan,” katanya.
Zambry berkata kepercayaan menjadi kelebihan yang strategik kepada Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa, dengan penuntut dari lebih 180 negara mengikuti pengajian di negara ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata usaha mengekalkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara memerlukan pematuhan ketat terhadap standard kualiti termasuk memastikan ketulenan kelayakan dan kredibiliti program yang ditawarkan oleh institusi terlibat.
“Mengapa ramai memilih untuk belajar di sini (Malaysia)? Kerana mereka percaya dan mempunyai keyakinan terhadap sistem, kualiti, kurikulum, pedagogi dan profesor kita. Semua petugas akademik kita mempunyai kualiti yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Zambry berkata usaha untuk memperkukuh jaminan kualiti adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang bertujuan membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang dihormati pada peringkat global, dipercayai dan bersedia mendepani masa depan.
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan kerjasama ASEAN dalam memperkukuh pendidikan tinggi kerana masa depan rantau tidak hanya dicorakkan oleh perdagangan tetapi juga pendidikan, dengan Malaysia percaya perkembangan ilmu melalui perkongsian, kolaborasi inovasi maju serta pengukuhan kualiti bersama-sama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Profesor Dr Mohamad Shatar Sabran berkata penganjuran kali pertama Forum Presiden MQA (Universiti) 2026 menjadi mercu tanda penting agensi tersebut kerana menghimpunkan pemimpin jaminan kualiti, presiden universiti dan naib canselor dari seluruh ASEAN di bawah satu platform strategik.
Beliau berkata selama beberapa tahun, MQA telah menghimpunkan agensi jaminan kualiti, pakar akreditasi dan penggubal dasar untuk membincangkan pengukuhan sistem jaminan kualiti yang menyumbang secara signifikan kepada usaha memajukan budaya kualiti, pengiktirafan bersama-sama serta kerjasama serantau.
“Bagaimanapun, hari ini kita melangkah lebih ke hadapan. Buat pertama kalinya, kita menghimpunkan bukan sahaja pemimpin jaminan kualiti, malah presiden dan naib canselor universiti dari seluruh ASEAN di bawah satu platform strategik,” katanya.
Mohamad Shatar berkata inisiatif itu mencerminkan realiti bahawa masa depan pendidikan tinggi tidak boleh dicorakkan oleh agensi jaminan kualiti, kerajaan atau universiti yang bertindak secara berasingan, sebaliknya memerlukan kepimpinan serta rakan kongsi yang kolektif dan memikul tanggungjawab bersama-sama.
Beliau berkata tema forum Leading Quality Assurance for a Future Ready and Integrated ASEAN Higher Education mencerminkan aspirasi untuk bersama-sama membina ekosistem pendidikan tinggi yang inovatif, dipercayai, inklusif dan bersedia mendepani masa depan dengan perbincangan memfokuskan kebolehpasaran graduan, transformasi digital, inovasi dan pembelajaran bersedia masa depan serta pembelajaran tanpa batasan.
Forum sehari itu dianjurkan oleh MQA dengan kerjasama Rakan Strategik Diamond, Anubavam Technologies (India) dan CE Nexus (Filipina) serta Rakan Strategik Gold, Singapore Institute of Management (Singapura), Fandi Ads (Malaysia), Vialing Sdn Bhd (Malaysia) dan Mastersoft ERP Solutions (India), dihadiri 200 peserta dari 11 negara ASEAN.
-- BERNAMA