Skip to main content

Dunia

Mahkamah AS tetapkan perbicaraan Nicolas Maduro, isteri pada Jun 2027

Venezuelan President Nicolas Maduro gives a news conference at the Miraflores presidential palace, March 12, 2020, in Caracas, Venezuela [File: Matias Delacroix/AP]
Maduro berdepan empat pertuduhan, termasuk konspirasi “narco-terorisme” dan konspirasi mengimport kokain ke AS. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara seumur hidup. - Gambar fail AP

NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) menetapkan 1 Jun 2027 sebagai tarikh perbicaraan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dan isterinya, Cilia Flores, yang dibawa ke AS selepas ditahan dalam satu operasi ketenteraan Amerika di negara Amerika Selatan itu pada Januari 2026.

Hakim Alvin Hellerstein membuat keputusan itu pada Rabu, manakala kedua-dua tertuduh terus mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkaitan penyeludupan dadah serta mempertikaikan kesahihan prosiding mahkamah berkenaan.

Maduro dan Flores tidak memberikan sebarang kenyataan sepanjang prosiding yang berlangsung kira-kira 15 minit itu. 

Pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum ini mempertahankan operasi ketenteraan di Caracas dan penahanan pasangan berkenaan dengan mendakwa, Maduro terlibat dalam konspirasi menyeludup kokain ke AS ketika memegang jawatan sebagai ketua negara.

Ketika didakwa pada Januari lalu, Maduro menafikan semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Saya tidak bersalah. Saya seorang yang baik dan Presiden berperlembagaan negara saya,” katanya.

Peguam Maduro, Barry Pollack berkata, pihak pembelaan akan mencabar kesahihan operasi ketenteraan yang membawa kepada penahanan anak guamnya dan penghantarannya ke AS untuk dibicarakan. 

Menurutnya, cabaran awal akan dibuat atas alasan imuniti kedaulatan negara, yang jika berjaya boleh menyebabkan Maduro tidak lagi perlu berdepan prosiding mahkamah tersebut.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang permohonan ikat jamin. Tarikh perbicaraan tahun depan ditetapkan atas persetujuan pasukan pendakwaan dan pembelaan.

Maduro berdepan empat pertuduhan, termasuk konspirasi “narco-terorisme” dan konspirasi mengimport kokain ke AS. 

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Pentadbiran Trump sebelum ini menyifatkan serangan ke atas Venezuela yang menurut pihak berkuasa negara itu mengorbankan 83 nyawa sebagai “operasi penguatkuasaan undang-undang bersasar” berkaitan kes jenayah yang mula difailkan enam tahun lalu.

Sejak itu, jawatan Presiden Venezuela disandang oleh Presiden Interim, Delcy Rodriguez yang dilaporkan membawa negara itu ke arah hubungan yang lebih rapat dengan kepentingan AS. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement