Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Anwar persoal dakwaan Aminuddin ‘boneka DAP’

 Anwar Ibrahim, PRN
Anwar mendakwa serangan terhadap Aminuddin sebenarnya berpunca daripada rasa tidak puas hati pihak tertentu kerana calon pilihan mereka tidak dilantik sebagai Menteri Besar. - Gambar Astro AWANI

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan dakwaan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan “boneka DAP”.

Anwar menyifatkan tuduhan itu hanya timbul menjelang Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Berucap pada program Jelajah Kekal Harapan pada Rabu, Anwar berkata sepanjang tiga tahun setengah beliau menerajui Kerajaan Perpaduan, tidak pernah timbul dakwaan bahawa Aminuddin mengikut telunjuk DAP atau gagal membela kepentingan orang Melayu.

“Saya tak pernah dengar dia kata Aminuddin tak reti tadbir, ada kes rasuah, atau tak tolong rakyat. Jadi masalahnya apa?

“Jadi masalah di Negeri Sembilan, tak pernah dengar dia tak tolong Melayu. Saya tak pernah dengar tiga tahun setengah sejak saya jadi PM ini bahawa dia ini hanya ikut telunjuk DAP.

“Tak pernah dengar daripada pimpinan parti-parti lain. Konyong-konyong tiba sekarang dia tak tolong Melayu, dia boneka DAP sekarang. Yang 3 tahun setengah itu apa dia?,” katanya.

Beliau turut mendakwa serangan terhadap Aminuddin sebenarnya berpunca daripada rasa tidak puas hati pihak tertentu kerana calon pilihan mereka tidak dilantik sebagai Menteri Besar.

“Sebenarnya mereka tak puas hati kerana bukan Menteri Besar, calon mereka bukan Menteri Besar. Itu percubaan ‘tebuk atap’ yang awal di Negeri Sembilan.

“Memang saya sabar, saya runding dengan baik, ya, bincang dengan baik, nak cari penyelesaian. Kerana masa pilihan raya dia nak buat peraturan lain, buatlah.

“Tetapi oleh kerana satu yang saya dengar. Betul orang Melayu sekarang dengar ini, Pakatan Harapan tidak membela nasib Melayu. 3 tahun setengah saya tak dengar! Sungguh-sungguh! Saya tak dengar!

“Saya bincang dengan mereka itu bukan seminggu sekali, kadang satu minggu.. tiga, empat kali dengan pimpinan parti ini semua. Tak pernah dengar,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan PH sentiasa terbuka menerima sebarang teguran terutamanya berhubung kelemahan pelaksanaan dasar ekonomi serta kebajikan rakyat namun politik persepsi yang menunggang isu perkauman tidak akan sama sekali dibiarkan.

Must Watch Video

Advertisement