Skip to main content

Sukan

Audit kualiti: Kebanyakan operasi FAM di bawah tahap pertengahan - AFC

KUALA LUMPUR, 4 Jun -- Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin (dua,kiri) bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John (dua,kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini.  Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Vahid Kardany.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin (dua,kiri) bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John (dua,kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA: Audit kualiti yang dijalankan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mengenal pasti beberapa cabaran berkaitan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dapatan tersebut dibentangkan semasa Kongres Luar Biasa (EGM) FAM yang berlangsung di sini hari ini, menerusi Penilaian Tahap Kematangan Keupayaan AFC.

Pembentangan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany, mendapati bahawa kebanyakan bidang operasi FAM dinilai pada Tahap 2 (Prapertengahan), yang memberi petunjuk penambahbaikan diperlukan dalam pelbagai aspek organisasi berkenaan.

Penilaian itu meliputi 11 bidang tumpuan, termasuk tadbir urus dan hal ehwal perundangan, pentadbiran, kewangan, sumber manusia, infrastruktur, komunikasi, pemasaran, pembangunan komersial, advokasi, pertandingan serta pembangunan peningkatan prestasi.

Antara skor direkodkan ialah 1.3 bagi Tadbir Urus dan Perundangan; Pentadbiran, Logistik dan Teknologi Maklumat (1.6); Kewangan, Maklumat Perniagaan dan Risiko (1.2); serta 1.4 masing-masing bagi Sumber Manusia dan Budaya serta Infrastruktur dan Kemudahan.

Komunikasi dan Media merupakan satu-satunya jabatan yang mencapai skor 2.0, sekali gus meletakkannya pada Tahap 3 (Pertengahan).

Pembentangan tersebut menyatakan bahawa struktur tadbir urus wujud tetapi tidak diluluskan atau dikuatkuasakan secara rasmi, manakala kuasa didapati tertumpu di peringkat tertinggi organisasi, sekali gus mengetepikan saluran pelaporan dan mandat rasmi.

Ia turut menimbulkan kebimbangan bahawa fungsi-fungsi kritikal banyak bergantung kepada individu tertentu dan bukannya sistem institusi yang tersusun, sekali gus mewujudkan risiko kebergantungan kepada individu penting merentas jabatan.

Antara isu lain dikenal pasti termasuk ketiadaan pelan perniagaan tahunan, kalendar aktiviti dan laporan prestasi, dasar yang tidak diluluskan, kekurangan petunjuk prestasi utama (KPI) serta rangka kerja pengukuran prestasi, selain perancangan penggantian terhad.

Audit itu juga mendapati bahawa pengetahuan berhubung institusi tertumpu kepada sebilangan kecil individu dan mencadangkan bahawa budaya organisasi yang menyebabkan kakitangan kurang berani mungkin menghalang mereka daripada melaporkan kebimbangan sebelum ia menjadi lebih serius.

EGM FAM hari ini dipengerusikan Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John, dan dihadiri Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman, 35 perwakilan yang mewakili kesemua 18 ahli gabungan, serta wakil daripada FIFA dan AFC, selain pemerhati.

Pada Januari lepas, semua ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025–2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela.

Keputusan itu dibuat sebulat suara, dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi atau jawatan, dan dilihat sebagai langkah berhemah serta berprinsip susulan situasi semasa yang menarik perhatian umum berkaitan isu pemain warisan, selain untuk memelihara integriti FAM.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement