KUALA LUMPUR: Operasi pemadaman membabitkan kerja-kerja “overhaul” masih giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi kebakaran yang memusnahkan lot kedai di Pasar Borong Selangor PKPS Agro, Pusat Bandar Putra Permai, di sini, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pemadaman masih diteruskan selepas kebakaran berjaya dikawal pada 1.20 pagi, manakala setakat 4.35 pagi api berjaya dipadamkan kira-kira 70 peratus.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.04 malam, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan premis berkeluasan kira-kira 400 meter persegi itu memusnahkan 90 peratus bangunan, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 68 anggota JBPM bersama 16 jentera pelbagai jenis digerakkan dalam operasi itu dengan bantuan anggota daripada 13 balai bomba, termasuk BBP Bukit Jalil, Presint 7, Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Bangi, KLIA, Keramat, Hang Tuah, Hartamas, Cyberjaya, Bukit Jelutong, Subang Jaya dan Damansara.
Operasi itu turut dibantu 67 anggota daripada 11 Pasukan Bomba Sukarela, selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor.
-- BERNAMA