KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada Rabu, membantah tindakan lapan Ahli Kongres AS yang menggesa Washington memberi tekanan kepada Malaysia supaya mengubah dasar tidak membenarkan warga Israel memasuki negara ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata memorandum itu diserahkan kepada seorang pegawai bahagian politik kedutaan AS.
Beliau menegaskan Malaysia mempunyai hak mutlak menentukan dasar luar serta polisi imigresennya tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Kita menegaskan tentang kedaulatan kita, hak kita dan kebebasan kita untuk menentukan polisi negara. Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada tekanan mana-mana negara supaya mengubah pendiriannya.
“Kita juga mendesak supaya cadangan yang dikemukakan oleh lapan Ahli Kongres itu ditarik balik dan tidak diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum di hadapan Kedutaan AS hari ini.
Menurut beliau, Malaysia sejak sekian lama tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan dasar itu selaras dengan pendirian konsisten negara terhadap isu Palestin.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, memorandum berkenaan diserahkan dua hari selepas surat daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat itu dikeluarkan, manakala sehari sebelumnya pertubuhan itu turut menghantar memorandum sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, memorandum tersebut menyatakan sokongan terhadap ketegasan kerajaan untuk mengekalkan dasar tidak membenarkan rakyat Israel memasuki Malaysia.
"Tindakan Ahli Kongres AS melabelkan pendirian Malaysia sebagai antisemitik adalah tidak tepat kerana bantahan Malaysia bukan berasaskan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama.
"Pendirian itu berkait rapat dengan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin serta bantahan terhadap konflik dan genosid di Gaza," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mendakwa wujud amalan “double standard” apabila AS mempertikaikan hak Malaysia menentukan dasar imigresennya, sedangkan negara itu sendiri pernah melaksanakan sekatan kemasukan terhadap rakyat dari beberapa negara tertentu atas dasar keselamatan dan dasar luar.
Sesi penyerahan memorandum diakhiri dengan laungan “Daulat Malaysia” oleh kumpulan NGO terbabit yang berkumpul di hadapan Kedutaan AS sebagai simbol sokongan terhadap kedaulatan negara dan pendirian Malaysia.
Pada Rabu lalu, lapan Ahli Kongres AS semalam menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Anwar, yang mahu mengusir segera rakyat Israel berada di Malaysia.
Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.
Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan yang amat serius terhadap kenyataan Anwar dan mereka mendesak agar kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Anwar sebelum ini menegaskan mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir serta-merta kerana Malaysia tidak mengiktiraf negara berkenaan.
Kenyataan itu susulan dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.
Network School ialah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.
Komuniti itu menyasarkan golongan yang digelar techno-optimist dan mengenakan yuran melebihi RM6,000 sebulan yang merangkumi penginapan, makanan serta pelbagai kemudahan lain termasuk akses ke gimnasium.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, termasuk dakwaan bahawa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia.