Skip to main content

Malaysia

Lima warden Penjara Taiping mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan tiga banduan

Lima warden Penjara Taiping mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan tiga banduan.
Lima warden penjara dibawa ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Taiping hari ini bagi menghadapi pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan pada Januari tahun lalu. - Foto Astro AWANI

TAIPING: Lima warden penjara mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan pada Januari tahun lalu.

Mohd Hairie Jumri, 40, Saiful Azman Mohamad, 44, dan Ahmad Rizal Razali, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Prabakaran Rajoo, manakala Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mohd Hairie dan Saiful Azman dituduh secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang banduan lelaki berumur 25 tahun dengan menggunakan cota di Penjara Taiping, Jalan Taming Sari, antara jam 3 dan 4 petang, 17 Jan 2025.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Ahmad Rizal pula dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang banduan lelaki lain berumur 32 tahun di tempat yang sama, antara jam 3 dan 4.15 petang pada tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga satu tahun penjara atau dengan denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 7 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk ketiga-tiga tertuduh.

Sementara itu, Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan pula dituduh secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang lagi banduan lelaki berumur 30 tahun di tempat yang sama, antara jam 3 dan 4 petang pada tarikh sama.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau dengan denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Hamdi membenarkan mereka diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua mereka dituduh selepas kertas siasatan yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dikembalikan dengan arahan pertuduhan pada 29 Jun lepas.

Pada 19 Dis 2025, seorang warden penjara, Ryndee O'nel Victor, 25, didakwa di Mahkamah Majistret Taiping di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat berhubung insiden sama.

 

 

Must Watch Video

Advertisement