IPOH: Sebuah gerai buah-buahan berkonsepkan layan diri di Kampung Lasah di sini beroperasi sepenuhnya berlandaskan kejujuran serta kepercayaan terhadap pembeli.
Pemilik gerai Nordin Mat Yazid, 63, berkata perniagaan buah-buahan dinamakan 'Gerai Cik Din' itu dimulakan berhampiran jalan utama berdekatan dataran simpang Perlop sejak dua minggu lepas bagi memudahkannya membahagikan masa dengan kerja-kerja kampung.
Dengan dibantu oleh isterinya Aziati Mohd Salleh, 56, pemilik gerai itu berkata pelanggan boleh membuat pembayaran menerusi wang tunai diletakkan dalam tabung yang disediakan atau mengimbas kod QR yang disediakan.
Nordin yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal akibat kemalangan jalan raya pada usia 19 tahun memberitahu usaha berkonsepkan layan diri itu sebenarnya telah dilaksanakan di hadapan rumahnya sejak empat hingga lima tahun lepas, sebelum dipindahkan ke tapak tepi jalan besar bagi meluaskan pasaran.
"Selepas musim durian baru-baru ini, saya cuba buat di tapak sama dengan gerai Durian Cik Din Lasah, dalam dua minggu gerai buah layan diri ini beroperasi di sini dan kita letak satu bekas duit, selain letak harga siap-siap," katanya ketika dihubungi Bernama.
Nordin berkata gerai yang dibuka seawal 8 pagi hingga 6 petang itu menjual pelbagai hasil pertanian dan buah-buahan tempatan seperti pisang, kelapa muda, dokong, manggis, cili padi, dan jantung pisang pada harga antara RM2.50 hingga RM30.
Mengenai aspek keselamatan barang jualan, Nordin menjelaskan dia tidak pernah berdepan sebarang insiden kecurian sepanjang mengamalkan konsep layan diri, sebaliknya ada ketika jumlah wang yang diterima dalam tabung melebihi harga jualan.
Perniagaan itu turut mendapat kerjasama serta sokongan positif daripada komuniti setempat termasuk pekerja stesen minyak berhampiran, selain pengguna jalan raya dan masyarakat Orang Asli.
"Tak ada (kecurian), tak ada, insya-Allah. Malahan kadang-kadang kami dapat rezeki lebih," katanya.
Namun, cabaran utama yang dihadapi di lokasi baharu itu bukannya daripada sikap manusia, sebaliknya ancaman gangguan kera dari kawasan ladang kelapa sawit di belakang gerai, tetapi dengan bantuan komuniti setempat mereka menghalau atau memaklumkan kepadanya tentang kehadiran haiwan itu.
Nordin berkata gerai yang menggunakan struktur khemah itu turut mengekalkan simpanan bekalan buah-buahan di dalam raga bertutup apabila operasi ditutup pada waktu petang tanpa perlu mengangkutnya pulang ke rumah.
Di samping jualan di gerai, Nordin turut menyediakan khidmat penghantaran barangan terus ke rumah penduduk secara percuma bagi radius satu kilometer terutamanya kepada golongan warga emas.
Untuk permintaan pelanggan di luar kawasan seperti di kawasan FELDA hingga sejauh 10 kilometer, penghantaran dilakukan dengan caj perkhidmatan minimum atau secara percuma mengikut kesesuaian.
"Saya hanya tawakal, insya-Allah, jika ada rezeki, Allah SWT akan beri," katanya ketika ditanya jika bimbang sekiranya produk dipamerkan dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Meskipun baru dua minggu beroperasi di laluan utama ke Kuala Mu itu, gerai berkenaan mula dikenali ramai dan mampu meraih pendapatan kira-kira RM85 sehari.
-- BERNAMA