PUTRAJAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui penangguhan keputusan rayuan kesnya bukan sesuatu yang dijangkakan.
Bagaimanapun, dalam masa sama, Ahli Parlimen Muar itu akur dan menghormati keputusan mahkamah serta institusi kehakiman negara.
Beliau berkata, ketika berbincang dengan pasukan peguamnya sebelum prosiding, pelbagai kemungkinan diambil kira, namun penangguhan berikutan salah seorang panel hakim tidak dapat hadir atas faktor kesihatan langsung tidak berada dalam jangkaan mereka.
"Ini bukan perkara yang kita jangkakan. Bila berbincang dan berunding dengan para peguam pun, ada banyak senario yang kita jangkakan, tetapi perkara ini tidak ada dalam perbincangan dan perancangan kami.
"Namun, apabila ia membabitkan isu kesihatan yang kadangkala berada di luar kawalan, saya secara peribadi akur dan perlu menghormatinya, khususnya apabila membabitkan institusi kehakiman yang saya junjung tinggi,” katanya kepada media di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, pada Selasa.
Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, institusi kehakiman adalah benteng terakhir bagi mana-mana individu yang menuntut keadilan dan atas sebab itu beliau akan terus menghormati segala proses yang ditetapkan mahkamah.
"Saya menghormati keputusan Yang Arif Hakim dan saya menghormati institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu yang ingin mendapatkan keadilan, bukan melalui jalan pintas atau layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan bukti," tegasnya.
Syed Saddiq berkata, selepas hampir enam tahun berdepan perbicaraan, beliau sanggup menunggu dua minggu lagi demi memastikan proses keadilan berjalan mengikut lunas undang-undang.
"Kisah ini bukanlah kisah yang baharu. Sudah enam tahun saya berjuang untuk mendapatkan keadilan, membersihkan nama, integriti dan maruah saya.
"Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur. Buat masa ini, fokus saya bersama peguam dan keluarga adalah untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Syed Saddiq berkata, keutamaannya ketika ini bukan soal politik atau berkempen, sebaliknya, memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes rayuan yang sedang dihadapinya.
"Hari ini fokus saya adalah kepada usaha mendapatkan keadilan dan membersihkan nama saya terlebih dahulu,” kata beliau lagi.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir pedakwaan terhadap Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta kepada 13 Julai ini.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, prosiding pada Selasa tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari, iaitu hari ini dan Rabu.