Skip to main content

Dunia

Tarif baharu AS "tidak masuk akal" - Timbalan PM Australia

51692696949_RichardMarles.jpg
Richard Marles kerajaan persekutuan kecewa dengan keputusan pentadbiran Trump untuk mengenakan tarif itu. - Gambar fail

CANBERRA: Timbalan Perdana Menteri Australia Richard Marles pada Jumaat berkata tarif baharu berkaitan buruh paksa yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) "tidak masuk akal."

Marles memberitahu radio Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Jumaat bahawa kerajaan persekutuan kecewa dengan keputusan pentadbiran Trump untuk mengenakan tarif itu, lapor Xinhua.

Tarif baharu itu akan dikenakan mulai Jumaat pada kadar 10 dan 12.5 peratus ke atas barangan import dari 60 negara yang dituduh AS gagal membanteras amalan buruh paksa, menggantikan tarif sementara 10 peratus yang akan tamat tempoh. Eksport Australia ke AS akan dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.

"Pada pandangan kami, perkara ini sememangnya tidak masuk akal," kata Marles.

"Kami terus mengemukakan hujah itu kepada pentadbiran Trump, baik dari segi perdagangan mahupun pendirian kami berhubung buruh paksa," katanya.

Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell dalam satu kenyataan berkata tarif itu tidak berasas, tidak selaras dengan perjanjian perdagangan bebas Australia-AS dan perlu dimansuhkan.

"Langkah Australia untuk memerangi buruh paksa dan perhambaan moden adalah antara yang paling tegas di dunia dan kami diiktiraf di peringkat global, termasuk di Amerika Syarikat, atas kepimpinan kami," kata Farrell.

Pada awal Julai, Kedutaan Australia di Washington mengemukakan bantahan rasmi kepada Wakil Perdagangan AS terhadap cadangan tarif berkaitan buruh paksa itu.

Bantahan itu menyatakan bahawa "tiada asas bukti yang boleh dipercayai" untuk mengenakan tarif berkenaan ke atas barangan Australia.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement