Skip to main content

Dunia

Kanada bakal perkenal RUU Keselamatan Digital, mungkin larang media sosial untuk bawah 16 tahun

51732612185_KanakKanakGajet.jpg
RUU itu turut bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat peningkatan penggunaan chatbot kecerdasan buatan (AI). - Gambar hiasan

HAMILTON: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mark Carney dijangka memperkenalkan rang undang-undang (RUU) seawal Rabu yang boleh melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial serta mewujudkan pengawal selia keselamatan digital baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik CBC News pada Selasa.

Menurut laporan itu, RUU yang disenaraikan sebagai Akta Keselamatan Digital dan Akta Suruhanjaya Keselamatan Digital Kanada itu turut bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat peningkatan penggunaan chatbot kecerdasan buatan (AI).

“Saya rasa sudah jelas mengapa perkara ini menjadi keutamaan. Kanak-kanak sedang "kehilangan nyawa",” kata Menteri Identiti dan Kebudayaan Marc Miller kepada pemberita.

Miller, yang menerajui RUU itu bersama Menteri Kehakiman Sean Fraser enggan mengesahkan kandungan perundangan berkenaan sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat Kanada.

“Saya fikir memadai untuk mengatakan bahawa kami akan mengambil semua langkah munasabah bagi memastikan kanak-kanak di negara ini selamat,” kata Miller.

Sementara itu, Fraser menolak kebimbangan bahawa perundangan itu akan menjejaskan kebebasan bersuara.

“Anda tidak perlu mengorbankan kebebasan untuk memastikan orang ramai dapat hidup dengan selamat dalam sesebuah masyarakat,” katanya.

Merujuk kepada landskap digital yang semakin berubah dan dihadapi kanak-kanak, Fraser berkata: “Kita kini melihat generasi muda yang dahulu hanya diperkenalkan kepada media sosial apabila mereka dewasa, sama ada ketika di universiti atau memasuki alam pekerjaan; sebaliknya kini kita melihat kanak-kanak terdedah kepada media sosial seawal usia empat atau lima tahun, malah ada yang lebih muda daripada itu.”

Beliau menambah bahawa kerajaan bertanggungjawab mengiktiraf perubahan masyarakat serta peningkatan penggunaan teknologi, sambil memastikan hak orang ramai dihormati dan pada masa sama mengambil langkah bagi menangani cabaran moden.

RUU itu menyusuli percubaan yang gagal di bawah bekas Perdana Menteri Justin Trudeau apabila rang undang-undang berkaitan kemudaratan dalam talian terbatal selepas beliau menangguhkan sidang Parlimen pada awal 2025.

Perundangan itu diperkenalkan ketika beberapa negara mula mengehadkan akses media sosial kepada golongan bawah umur, selain menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis, yang dijangka membincangkan isu berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement