Skip to main content

Malaysia

Isu kesihatan planet bukan lagi masalah masa depan – NC UPM

Bandar Kuala Lumpur_BERNAMA
Isu kesihatan planet kini beri kesan langsung kepada kesejahteraan hidup manusia melalui perubahan iklim, penyakit zoonosis dan isu mikroplastik. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Isu kesihatan planet yang sebelum ini dianggap sebagai isu masa depan tidak lagi benar.  

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata perubahan iklim dan isu kesihatan zoonosis kini sudah memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia sejagat hari ini.

“Sebelum ini kita anggap isu kesihatan planet sebagai isu masa depan. Sekarang kita lihat perubahan iklim telah menjejaskan negara. Contohnya, sebelum ini mungkin hanya bulan-bulan tertentu sahaja berlaku musim tengkujuh. Tetapi sekarang sepanjang tahun berlaku keadaan cuaca tidak menentu.  

“Kalau kita perhalusi aspek kesihatan manusia, dalam konteks plastik mikro, juga merupakan isu kesihatan planet. Kita tahu plastik mikro ini ada dalam badan kita melalui makanan yang kita ambil. Ini satu ekosistem yang kompleks dan amat berkait antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Dalam temu bual sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zamberi Sekawi pula menjelaskan, UPM mempunyai kelebihan untuk menawarkan solusi bagi isu-isu kesihatan planet memandangkan universiti itu mempunyai pakar rentas disiplin dalam satu institusi yang sama.

“Pakar-pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah beri amaran bahawa penyakit zoonosis akan bertambah dan negara-negara dikehendaki untuk bersedia menghadapi perkara ini. Bagi UPM pula, kita ada kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan ‘One Health’. Ini istilah yang merangkumi kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.  

“Kami ada kepakaran dalam bidang perubatan, veterinar dan alam sekitar. Mereka lihat aspek-aspek penyelesaian holistik... Kami bergerak secara berkumpulan penyelidikan yang rentas disiplin untuk tangani masalah kesihatan planet,” katanya.

Untuk konteks, pada Januari lalu, UPM telah memperkenalkan Rangka Tindakan Kesihatan Planet dan Kemampanan (PHSB) yang dibangunkan sebagai hala tuju strategik universiti bagi memastikan pembangunan pendidikan, penyelidikan dan operasi kampus bergerak seiring dengan prinsip kesihatan planet.
 

Agenda AWANI: Kesihatan Planet | Tangani Perubahan Iklim, Lindungi Kesihatan Awam

Must Watch Video

Advertisement