Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Jika Gaza gagal ditundukkan, apatah lagi Iran - Pezeshkian

Pezeshkian, kredit screengrab Tasnim News
Lihat sahaja Gaza yang sekecil itu, sehingga kini sudah hampir tiga tahun mereka masih gagal memaksanya menyerah, ujar Pezeshkian.

KUALA LUMPUR: Jika Gaza masih gagal ditundukkan oleh rejim Zionis Israel selepas hampir tiga tahun berdepan peperangan, maka Iran juga mampu bertahan menghadapi serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang bermula pada 28 Februari lalu.

Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian menegaskan pentadbirannya tidak akan sesekali tunduk kepada tekanan atau ancaman ketenteraan AS, sebaliknya akan terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara, lapor Tasnim News.

“Lihat sahaja Gaza yang sekecil itu, sehingga kini sudah hampir tiga tahun mereka masih gagal memaksanya menyerah.

“Maka terhadap Iran, mereka juga tidak akan mampu memaksa kami tunduk melalui ancaman-ancaman seperti ini dan saya sama sekali tidak akan menyerah,” katanya ketika berucap pada majlis Amin Iran ketiga yang berlangsung di Dewan Vahdat, Tehran pada Rabu.

Pezeshkian turut menegaskan perpaduan rakyat merupakan benteng utama negara, sambil mengingatkan bahawa musuh kini berusaha mencetuskan perpecahan dalaman bagi melemahkan Iran dari dalam.

“Musuh telah menyusun seluruh perancangannya berdasarkan usaha untuk menyemarakkan perpecahan kerana adalah mustahil untuk memaksa sesebuah negara menyerah kalah hanya dengan pesawat, pengeboman dan serangan ketenteraan,” katanya.

Iran sebelum ini menegaskan gencatan senjata dan sebarang perjanjian damai tidak boleh terhad kepada konflik melibatkan Tehran dan Washington semata-mata. 

Sebaliknya, ia perlu merangkumi penghentian operasi ketenteraan Israel di Gaza dan Lubnan yang disifatkan sebagai sebahagian daripada krisis serantau yang sama.

Untuk rekod, majlis tersebut diadakan bagi memperingati jasa dan legasi Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei, selain menghimpunkan tokoh politik, budayawan dan masyarakat bagi mengenang sumbangan kepada Iran.

Pada masa sama, Pezeshkian turut mengimbau pengalamannya bersama Khamenei sepanjang Perang 12 Hari yang berlangsung dari 13 hingga 24 Jun tahun lalu ketika negara itu berdepan serangan rejim Israel.

Beliau mengesahkan terdapat percubaan untuk membunuh beliau dan Khamenei ketika konflik berkenaan, namun cubaan tersebut berjaya digagalkan.

“Pada hari itu kami dijadualkan bertemu beliau (Khamenei) pada pukul lima petang, namun pertemuan itu tidak dapat berlangsung tepat pada waktunya dan kami tiba lewat.

“Beliau menunggu sehingga sekitar pukul enam setengah atau tujuh malam untuk bertemu kami dan mengetahui keadaan yang berlaku. Beliau bimbang sekiranya sesuatu yang tidak diingini menimpa kami,” katanya lagi.

Pezeshkian turut menyentuh serangan yang mengorbankan Khamenei pada hari pertama konflik, sambil menegaskan tindakan tersebut tidak akan dibiarkan tanpa balasan.

“Sudah tentu, sebagaimana yang anda ketahui, syahid merupakan suatu kemenangan dan kemuliaan yang besar.

“Namun hakikat bahawa musuh boleh dengan begitu mudah mensyahidkan para komander dan insan-insan yang kami kasihi adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima,” tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement