KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu, mengatasi prestasi beberapa pasaran serantau apabila penurunan semula saham teknologi global dan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat mendorong pelabur beralih kepada pasaran yang lebih defensif serta berorientasikan domestik.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.46 mata kepada 1,678.96 berbanding 1,675.50 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.55 mata lebih tinggi pada 1,676.05 dan bergerak dalam julat antara 1,673.64 dan 1,684.10 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 705 berbanding 422, manakala 521 kaunter tidak berubah, 1,042 tidak diniagakan dan 14 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.97 bilion unit bernilai RM2.73 bilion berbanding 3.76 bilion unit bernilai RM2.90 bilion semalam.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun pasaran ekuiti Asia Utara ditutup rendah berikutan tekanan berterusan ke atas saham teknologi dan semikonduktor, FBM KLCI mendapat manfaat daripada pendedahannya yang terhad kepada sektor teknologi serta disokong oleh saham perkhidmatan kewangan yang defensif.
“Pemulihan saham-saham perbankan berwajaran tinggi menyokong indeks penanda aras, sekali gus mengukuhkan ciri defensif Bursa Malaysia ketika tempoh peningkatan penghindaran risiko global.
“Sentimen pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi utama Amerika Syarikat (AS) malam ini, namun pasaran tempatan terus menarik minat belian terpilih apabila pelabur mencari perlindungan dalam sektor yang mempunyai asas kukuh serta prospek pendapatan yang stabil,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur kembali mengumpul saham-saham terpilih selepas pembetulan pasaran baru-baru ini.
“Di peringkat serantau, sentimen menjadi lebih berhati-hati apabila harga minyak melonjak susulan pertukaran tindakan ketenteraan yang diperbaharui antara AS dan Iran.
“Di dalam negara, sentimen kekal tegang apabila kaunter rugi terus mengatasi kaunter untung dengan jurang yang besar. Kami kekal berhati-hati dengan mengambil kira ketegangan geopolitik yang masih belum reda serta potensi kesan harga minyak mentah yang lebih tinggi terhadap inflasi global dan jangkaan kadar faedah,” katanya.
Thong berkata pelabur dijangka terus bersikap selektif susulan jualan berterusan oleh pelabur asing dan ketiadaan pemangkin pasaran yang kukuh, manakala hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat akan terus dipengaruhi oleh perkembangan di Asia Barat, pergerakan harga minyak mentah dan persekitaran risiko global secara keseluruhan.
Justeru itu, bagi baki minggu ini, FBM KLCI akan terus bergerak dalam julat tertentu dengan sentimen berhati-hati, didagangkan antara paras 1,670 hingga 1,690 apabila pelabur menimbang penilaian saham yang menarik berbanding ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi yang masih tinggi, katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM10.68, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.80, Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM14.22 dan CIMB menokok tiga sen kepada RM7.40, manakala IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM8.67 dan Press Metal kehilangan enam sen kepada RM8.90.
Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada satu sen, Zetrix meningkat dua sen kepada 84.5 sen, VS Industry menambah satu sen kepada 21 sen, SFP Tech susut 2.5 sen kepada 30 sen dan Capital A turun 1.5 sen kepada 40 sen.
Antara kaunter untung tertinggi, Kuala Lumpur Kepong meningkat 36 sen kepada RM20.48, Allianz Malaysia naik 16 sen kepada RM20.96, VSTecs menambah 15 sen kepada RM1.98, LPI Capital meningkat 14 sen kepada RM15.24 dan Petronas Chemicals naik 13 sen kepada RM5.58.
Bagi kaunter rugi utama, Concrete Engineering susut 95 sen kepada RM3.95, Nestle turun 66 sen kepada RM93.78, Fraser and Neave merosot 52 sen kepada RM25.78, Ajinomoto turun 40 sen kepada RM15.08 dan KESM susut 32 sen kepada RM3.73.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.52 mata kepada 12,456.48, Indeks FBM Top 100 naik 10.22 mata kepada 12,302.22, manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 18.89 mata kepada 12,416.49.
Indeks FBM Mid 70 turun 49.88 mata kepada 17,951.89, sementara Indeks FBM ACE merosot 67.03 mata kepada 4,660.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan pulih 85.53 mata kepada 19,582.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.15 mata kepada 196.83 dan Indeks Tenaga susut 8.86 mata kepada 778.77, manakala Indeks Perladangan meningkat 51.77 mata kepada 8,794.22.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.40 bilion berbanding 2.22 bilion unit bernilai RM2.57 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.06 bilion unit bernilai RM170.17 juta berbanding 997.45 juta unit bernilai RM155.37 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 453.18 juta unit bernilai RM151.41 juta daripada 550.14 juta unit bernilai RM171.11 juta sebelum ini.
Mengikut sektor, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 241.63 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (300.21 juta), pembinaan (170.76 juta), teknologi (1.18 bilion), perkhidmatan kewangan (67.23 juta), hartanah (170.23 juta), perladangan (34.01 juta), amanah pelaburan hartanah (28.92 juta), dana tertutup (57,400), tenaga (55.75 juta), penjagaan kesihatan (104.88 juta), telekomunikasi dan media (31.72 juta), pengangkutan dan logistik (21.0 juta), utiliti (43.39 juta) serta amanah perniagaan (1,100).
-- BERNAMA