Skip to main content

Dunia

Kekurangan kertas undi cetus protes, Presiden Korea Selatan gesa hormati polis

undi, korea selatan. AP
Kekurangan kertas undi menyebabkan proses pengundian dihentikan sementara di 26 pusat mengundi di seluruh negara pada hari pengundian, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai. - AP

SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Rabu menggesa peserta protes yang berhimpun di selatan Seoul susulan kekurangan kertas undi dalam pilihan raya tempatan minggu lalu agar tidak menggunakan kekerasan terhadap anggota polis yang bertugas di lokasi berkenaan, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Penghinaan dan ejekan yang dilemparkan oleh segelintir penunjuk perasaan terhadap anggota polis yang bertugas di tapak protes di Jamsil melampaui batas,” kata Lee di platform media sosial X.

“Mereka dilaporkan menuduh anggota polis di lokasi sebagai ‘polis palsu’, memaki hamun mereka, malah bertindak menahan dan menyerang mereka,” katanya.

Kenyataan Lee dibuat ketika penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi untuk hari keenam berturut-turut pada Rabu berhampiran SK Olympic Handball Gymnasium di daerah Songpa bagi membantah kekurangan kertas undi yang berlaku semasa pilihan raya tempatan, 3 Jun lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), kekurangan kertas undi itu menyebabkan proses pengundian dihentikan sementara di 26 pusat mengundi di seluruh negara pada hari pengundian, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Sebahagian penunjuk perasaan yang berhimpun di pusat pengiraan undi dilaporkan menggunakan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas.

Lee berkata kebebasan bersuara dan berbahas sememangnya perlu dijamin namun tingkah laku yang “melampaui batas” tidak boleh diterima, sambil menggesa agar keganasan yang disifatkannya sebagai “tidak berasas” untuk dihentikan.

-- BERNAMA-YONHAP

 

Must Watch Video

Advertisement