Skip to main content

Dunia

Parti Buruh tuduh Musk guna media sosial rangsang perpecahan

51761701682_ElonMusk.jpg
Penggunaan media sosial dalam merancang protes ganas terhadap serangan tikaman pisau Belfast telah meraih kecaman, dengan Parti Buruh yang memerintah Britain menuduh Elon Musk menggalakkan perpecahan. - Gambar fail

LONDON: Penggunaan media sosial dalam merancang protes ganas terhadap serangan tikaman pisau Belfast telah meraih kecaman, dengan Parti Buruh yang memerintah Britain menuduh Elon Musk menggalakkan perpecahan, lapor PA Media/dpa.

Jutawan teknologi itu semalaman mempromosikan gesaaan supaya orang ramai turun ke jalan sebagai tindak balas terhadap serangan itu, yang menyebabkan seorang lelaki dalam keadaan kritikal di hospital.

Seorang lelaki Sudan berusia 30 tahun yang diberikan kebenaran untuk tinggal di United Kingdom (UK) sehingga 2028 didakwa atas cubaan membunuh dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.

Kekecohan tercetus di bandar raya itu pada Selasa, dengan penunjuk perasaan antiimigran membakar kenderaan dan harta benda, memaksa sesetengah orang meninggalkan rumah mereka.

Pengerusi Parti Buruh Anna Turley berkata platform dalam talian "memainkan peranan dalam memacu" pergolakan dan mencadangkan pemilik X, Musk adalah salah seorang "pelaku yang berniat jahat" yang mencetuskan ketegangan.

Musk berkongsi senarai di X lokasi tempat protes boleh berlaku -- turut disiarkan oleh aktivis sayap kanan Tommy Robinson -- dan menghantar semula ciapan siaran pemimpin Restore Britain, Rupert Lowe yang mengatakan "Jutaan mesti pergi" dengan tangkapan skrin rakaman serangan tikaman pisau itu.

Turley memberitahu Times Radio: "Kita harus mengakui dan menyedari bahawa media sosial memainkan peranan dalam menggerakkan perkara ini. Dan saya rasa ada pelaku yang berniat jahat yang biasanya berada di tempat yang jauh. Mudah untuk mereka mencetuskan perkara ini."

Ditanya sama ada taikun teknologi itu adalah salah seorang pelaku yang berniat jahat, beliau berkata: "Beliau tidak hidup dalam komuniti di mana kita melihat aktiviti seperti ini. Beliau tidak berdepan risiko.

“Ibu-ibu dan keluarga serta orang yang tinggal di rumah di Belfast dan di jalan raya Britain yang berhadapan berisiko.

“Beliau mempunyai tanggungjawab, setiap orang dalam kehidupan awam dan sivil mempunyai tanggungjawab untuk menyeru pada ketenangan dan bukan untuk mencetuskan rungutan atau kebencian atau perpecahan atau ketegangan yang meletakkan orang yang terdedah dan komuniti kita dalam risiko.”

Menteri Kehakiman Ireland Utara Naomi Long berkata pengacau media sosial harus "menjauhi papan kekunci mereka" susulan malam dipenuhi keganasan di Belfast.

Bercakap dalam program Today di BBC Radio 4, beliau berkata pihak yang mungkin sebenarnya tidak tahu di mana terletaknya Belfast telah menggunakan ketakutan orang ramai sebagai senjata.

"Kerana, akhirnya, jika anda menyuruh orang keluar dari rumah (melakukan tunjuk perasaan) hanya kerana warna kulit mereka, anda tidak boleh menyamarkannya dengan cara lain, ia ialah perkauman, dan pelaku berniat niat jahat itu perlu berundur,” kata Long.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement