Skip to main content

Dunia

Aset beku Iran di Qatar bernilai AS$6 bilion akan dipulangkan - Presiden

Iranian President Masoud Pezeshkian speaks during a meeting in Ilam, Iran, June 12, 2025. Iran's Presidential website/WANA (West Asia News Agency)/Handout via REUTERS
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, separuh daripada aset Iran yang dibekukan di Qatar berjumlah AS$12 bilion akan dipulangkan ke Tehran. - Gambar Reuters

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, separuh daripada aset Iran yang dibekukan di Qatar berjumlah AS$12 bilion akan dipulangkan ke Tehran.

Menurut laporan agensi berita separa rasmi Tasnim, beliau membuat kenyataan itu ketika mengadakan pertemuan bersama ulama kanan Iran di bandar Qom.

“Berdasarkan pelan yang telah ditetapkan, AS$6 bilion daripada keseluruhan AS$12 bilion sumber Iran di Qatar akan dipulangkan ke negara ini, dan susulan sewajarnya juga sedang dijalankan bagi memastikan baki sumber tersebut turut dikembalikan,” katanya.

Bagaimanapun, pegawai Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, setakat ini tiada aset Iran yang dibekukan telah dilepaskan.

Seorang pegawai AS dalam kenyataan pada Isnin berkata, aset Iran yang akan dilepaskan itu kelak akan digunakan untuk membeli produk pertanian dari Amerika bagi tujuan membantu keperluan makanan rakyat Iran.

Menurutnya, sebarang pelepasan dana bagi tujuan kemanusiaan adalah tertakluk kepada tahap pematuhan serta pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) oleh Iran.

Memorandum persefahaman yang dipersetujui antara AS dan Iran awal bulan ini menetapkan bahawa Washington akan “membolehkan sepenuhnya penggunaan dana dan aset milik Republik Islam Iran yang dibekukan atau disekat, tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian berkenaan.”

Dalam rundingan sebelum ini, Iran berulang kali menegaskan bahawa pemulangan aset yang dibekukan di bank-bank luar negara mesti menjadi sebahagian daripada proses susulan selepas pemeteraian MoU tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement