CHINA: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) menjana potensi impak ekonomi dianggarkan sebanyak RM95 juta menerusi penganjuran China Roadshow 2026 yang berlangsung di Beijing, Shanghai dan Guangzhou dari 11 sehingga 19 Mei lalu.
Program promosi yang menghimpunkan 20 pemain industri acara perniagaan (Business Events) Malaysia dan 180 pembeli industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dari China itu berjaya menghasilkan 127 prospek perniagaan berkualiti, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan dan pelancongan insentif antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, berkata penganjuran jelajah tersebut menandakan kembalinya MyCEB ke pasaran China selepas tempoh lima tahun, sekali gus membuka peluang baharu untuk memperkasa hubungan dengan pemain industri utama negara berkenaan.
“China merupakan antara pasaran sumber terpenting bagi sektor acara perniagaan Malaysia. Kami amat teruja untuk kembali berinteraksi secara bersemuka dengan rakan industri dan penganjur profesional di negara itu.
“Jelajah ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengukuhkan semula hubungan strategik, malah peluang terbaik untuk mempamerkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman inovatif dan bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Bertemakan ‘Reconnect. Reimagine, Rediscover Malaysia’, China Roadshow 2026 mengetengahkan kelebihan Malaysia daripada segi infrastruktur MICE yang moden, hospitaliti bertaraf antarabangsa serta pengalaman pelancongan insentif yang unik.
Menurut MyCEB, Beijing, Shanghai dan Guangzhou dipilih kerana ketiga-tiganya merupakan antara pasaran luar negara paling penting di rantau Asia Pasifik bagi sektor acara perniagaan dan pelancongan insentif.
Dalam sesi pembentangan destinasi, MyCEB turut memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan Malaysia kepada pasaran China, termasuk Program Sokongan MyTripleE 3.0 yang diperkenalkan pada 2024.
Program tersebut dibangunkan berasaskan tiga tonggak utama iaitu Excel, Elevate dan Enliven yang menawarkan sokongan kewangan dan bukan kewangan kepada penganjur acara perniagaan antarabangsa dan serantau.
Antara insentif yang disediakan termasuk bantuan lokasi, sokongan kepada pembeli dan penceramah, khidmat fasilitasi di lokasi serta bantuan perancangan acara yang disesuaikan mengikut keperluan penganjur.
MyCEB berkata pencapaian yang direkodkan menerusi China Roadshow 2026 mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pemain industri China terhadap Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan dan pelancongan insentif.
Penganjuran program itu juga selaras dengan usaha agensi kerajaan untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) serta memperkukuhkan hubungan pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan China.
Pada masa yang sama, kemudahan perjalanan yang semakin baik dijangka terus menyokong pertumbuhan pasaran tersebut. Setakat awal tahun ini, lebih 20 bandar di China menawarkan penerbangan terus ke Kuala Lumpur dengan lebih 180 penerbangan beroperasi setiap hari.
Selain Kuala Lumpur, destinasi seperti Pulau Pinang dan Kota Kinabalu terus menjadi pilihan utama kumpulan korporat dan pelancongan insentif dari China.
China Roadshow 2026 turut disertai pelbagai organisasi industri Malaysia termasuk BESarawak, Penang Convention & Exhibition Bureau, Sabah Convention Bureau, syarikat pengurusan destinasi (DMC), pusat konvensyen serta hotel-hotel terkemuka negara.
Antara peserta yang mengambil bahagian ialah Kuala Lumpur Convention Centre, Shangri-La Kuala Lumpur, Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Penang Marriott Hotel dan The Westin Langkawi Resort & Spa.
Melalui inisiatif tersebut, Malaysia bukan sahaja berjaya mempromosikan keupayaannya sebagai hab acara perniagaan utama di Asia, malah membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik yang dijangka memberi manfaat kepada industri pelancongan perniagaan negara dalam jangka panjang.
MyCEB akan terus komited dalam menyokong pemain industri dan memangkin kedudukan Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan antarabangsa yang unggul.