BEIJING: China terus muncul sebagai antara pasaran paling penting bagi industri acara perniagaan Malaysia apabila Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) berjaya menjana 127 prospek perniagaan berkualiti dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM95 juta menerusi penganjuran MyCEB China Roadshow 2026.
Pencapaian itu dilihat memberi suntikan positif kepada usaha negara menarik lebih banyak mesyuarat korporat, perjalanan insentif dan acara perniagaan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
Berlangsung di Beijing, Shanghai dan Guangzhou dari 11 sehingga 19 Mei lalu, siri jelajah bertemakan “Reconnect, Reimagine, Rediscover Malaysia” itu menghimpunkan 20 pemain industri acara perniagaan Malaysia bersama 180 pembeli profesional dari China bagi meneroka peluang kerjasama baharu dan memperluaskan jaringan pasaran kedua-dua negara.
Sebagai aktiviti promosi pertama MyCEB di China selepas lima tahun, program berkenaan turut mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pemain industri China terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan dan pelancongan insentif di rantau ini.
Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan MyCEB, Edward Lim berkata, kembalinya MyCEB ke China bukan sekadar untuk menghubungkan semula pemain industri, malah membuka peluang memperkenalkan tawaran baharu Malaysia kepada pasaran yang semakin berkembang.
"Kami berbesar hati dapat kembali ke pasaran China dan berhubung semula secara bersemuka dengan rakan industri serta pembeli profesional yang dihargai.
“Jelajah ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina semula hubungan, malah peluang terbaik untuk mengetengahkan keunikan tawaran acara perniagaan Malaysia serta pengalaman inovatif yang kami sediakan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam sesi pembentangan destinasi, MyCEB turut memperkenalkan pelbagai produk dan kemudahan MICE terkini termasuk program sokongan MyTripleE 3.0, yang menawarkan bantuan kewangan dan bukan kewangan kepada penganjur acara antarabangsa menerusi tiga teras utama iaitu Excel, Elevate dan Enliven.
Program yang diperkenalkan sejak 2024 itu merangkumi sokongan sewaan tempat, bantuan kepada pembeli dan penceramah, kemudahan di lokasi serta khidmat perancangan acara bagi membantu memastikan kejayaan penganjuran acara di Malaysia.
China kekal antara penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor acara perniagaan negara, didorong oleh hubungan dua hala yang semakin kukuh, kemudahan visa yang lebih mesra serta peningkatan akses penerbangan.
Sehingga awal 2026, lebih 20 bandar di China menawarkan penerbangan terus ke Kuala Lumpur dengan lebih 180 penerbangan setiap hari, sekali gus memudahkan pergerakan kumpulan korporat dan insentif ke Malaysia.
Destinasi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu terus menjadi pilihan utama bagi penganjuran mesyuarat korporat, program insentif dan acara perniagaan antarabangsa.
Melalui jelajah ini, Malaysia bukan sahaja memperluaskan capaian pasaran acara perniagaan di China, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama acara perniagaan di Asia yang menawarkan gabungan infrastruktur bertaraf dunia, hospitaliti berkualiti serta pengalaman destinasi yang pelbagai.