Skip to main content

Dunia

Iran sifatkan kegagalan Jerman di UNSC bukti kemarahan global

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Esmaeil Baghaei (foto) berkata keputusan itu merupakan tanda penolakan global terhadap pendirian Jerman dalam beberapa isu utama antarabangsa. -Gambar fail/Reuters

TEHRAN: Iran menyifatkan kegagalan Jerman mendapatkan kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai cerminan kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap dasar Berlin berhubung isu Gaza serta konflik serantau.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata keputusan itu merupakan tanda penolakan global terhadap pendirian Jerman dalam beberapa isu utama antarabangsa.

Beliau berkata kekalahan berkenaan, yang disifatkan sebagai antara kegagalan paling ketara dalam tempoh beberapa dekad, mencerminkan perubahan sentimen dalam kalangan negara anggota.

"Jerman, salah satu pembekal terbesar senjata maut kepada Israel, secara konsisten mewajarkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. 

"Dan apabila rejim Israel melancarkan pencerobohannya ke atas Iran, Berlin enggan mengecamnya; sebaliknya, ia secara tidak tahu malu menggambarkannya sebagai kerja kotor yang Israel lakukan untuk kita semua,” katanya menerusi hantaran di platform X.

 

 

Baghaei turut mendakwa Berlin gagal mengkritik tindakan ketenteraan Israel di rantau itu, selain mempersoalkan konsistensi pendirian negara berkenaan terhadap undang-undang antarabangsa.

Beliau menambah landskap geopolitik global kini semakin berubah, dengan masyarakat antarabangsa dilihat lebih menilai tindakan sebenar sesebuah negara berbanding retorik diplomatik.

“Sesiapa sahaja yang mengabaikan perubahan ini berdepan risiko membayar harga diplomatik yang tinggi,” katanya.

Kenyataan Tehran itu dibuat susulan keputusan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang menyaksikan Jerman gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga undi diperlukan untuk memenangi kerusi tidak tetap UNSC.

Must Watch Video

Advertisement