PUTRAJAYA: Pengambilan gambar Jemaah Menteri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan kononnya Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sesi fotografi berkenaan diadakan susulan pelantikan beberapa anggota baharu dalam Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet pada Disember lalu.
Menurutnya, sebelum ini, belum ada peluang untuk mengadakan sesi bergambar rasmi melibatkan keseluruhan barisan Jemaah Menteri selepas rombakan tersebut.
"Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa memang ada hasrat untuk mengambil gambar rasmi Jemaah Menteri kerana terdapat anggota baharu yang dilantik selepas rombakan Kabinet sebelum ini.
"Sebelum ini juga pernah diadakan sesi bergambar rasmi dengan konfigurasi Jemaah Menteri yang terdahulu, jadi perkara ini adalah amalan biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan pembubaran Parlimen," katanya pada sidang media Mingguan Pasca-Mesyuarat Kabinet, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi gambar Perdana Menteri bersama anggota Jemaah Menteri yang tular di media sosial.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan, sesi berkenaan diadakan dengan mengambil kesempatan kehadiran anggota Kabinet ke Putrajaya sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyaksikan mereka mengenakan pakaian istiadat rasmi.
"Jabatan Perdana Menteri berpendapat hari ini adalah masa yang sesuai untuk mengambil gambar rasmi tersebut kerana semua anggota Jemaah Menteri hadir dengan pakaian Nombor Satu.
"Jadi tidak timbul sebarang isu atau petanda kepada pembubaran Parlimen. Ia sekadar satu urusan rasmi yang lazim dilakukan," katanya.