Skip to main content

Malaysia

AG mohon kebenaran rayu keputusan mahkamah benarkan Majlis Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Feb -- Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memberi penerangan pada sesi taklimat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) mengenai Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 : Cadangan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta Cadangan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di Parlimen Malaysia hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengemukakan permohonan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam mencabar keputusan pendakwaan menghentikan semua prosiding lanjut terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah membabitkkan Yayasan Akalbudi. - BERNAMA

PUTRAJAYA: Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengemukakan permohonan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam mencabar keputusan pendakwaan menghentikan semua prosiding lanjut terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah membabitkkan Yayasan Akalbudi.

Dalam notis usul yang difailkan semalam, Mohd Dusuki membangkitkan dua persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh mahkamah.

Persoalan pertama ialah sama ada keputusan AG untuk tidak memulakan pendakwaan dan menghentikan sesuatu pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.

Jika persoalan itu dijawab secara afirmatif, apakah prasyarat atau ujian undang-undang yang perlu dipenuhi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut.

Persoalan kedua ialah sama ada ujian dua peringkat yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah lwn Menteri Luar Negeri, Malaysia & lain-lain [2021] boleh dianggap sebagai ratio decidendi, iaitu prinsip undang-undang yang mengikat dan wajib dipatuhi oleh mahkamah lebih rendah.

Mohd Dusuki turut memohon agar semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan permohonan bagi kebenaran merayu itu.

Ahmad Zahid, yang juga responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu, telah memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu pada 25 Mei lepas.

Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayunya mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Majlis Peguam untuk mencabar keputusan AG pada 4 Sept 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid selepas memutuskan bahawa ia bukan bersifat remeh atau menyusahkan serta membangkitkan isu undang-undang yang boleh dipertikai dan wajar didengar melalui perbicaraan penuh.

Mahkamah turut membenarkan Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan AG yang dipertikai sekali gus mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 27 Jun 2024.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman apabila memutuskan bahawa ia gagal memenuhi prasyarat yang diperlukan.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi adalah terbatal serta tidak sah.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat untuk menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti baharu.

Sementara itu, Mohd Dusuki ketika dihubungi Bernama berkata permohonan itu membangkitkan persoalan penting perundangan melibatkan kuasa budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia akan melibatkan isu perundangan dan Perlembagaan yang serius serta memerlukan kepastian daripada Mahkamah Persekutuan.

“Keputusan Mahkamah Rayuan akan memberi kesan kepada semua kes melibatkan kuasa budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga berkata keputusan Mahkamah Rayuan telah mewujudkan ketidakpastian berhubung “ujian dua peringkat” sebagaimana yang diperkenal dalam kes Sundra Rajoo.

-- BERNAMA
 

 

Must Watch Video

Advertisement