ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan hanya diadakan selepas selesai PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata situasi di Johor dan Negeri Sembilan berbeza dengan di Melaka, yang tidak memerlukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
Tarikh tempoh tamat DUN Melaka ialah pada 30 Dis depan.
“Kita (Barisan Nasional) akan terus menjalankan urusan-urusan kerajaan bagi menyantuni hal ehwal rakyat sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi.
“Kita tak ikut sama ada di Johor ataupun di Negeri Sembilan dan kita akan menghantar jentera untuk membantu PRN di kedua-dua negeri itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis kesyukuran sempena kepulangan beliau daripada menunaikan ibadah haji di kediamannya di Kampung Pulau di sini, malam ini.
Ab Rauf berkata beliau juga akan meneliti keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum memikirkan tarikh sesuai untuk membubarkan DUN.
Ketua Menteri itu menegaskan beliau tidak tertekan dengan dorongan mana-mana pihak yang mendesak Melaka turut membubarkan DUN, sebagaimana yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung masa depan DUN Melaka dengan menyifatkan politik sebagai “seni dengan 1,001 kemungkinan”.
PRN Melaka yang dilaksanakan pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas menang 21 kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada hari ini manakala Johor pada 1 Jun.
-- BERNAMA