Skip to main content

Malaysia

Polis buru penunggang motosikal pecahkan cermin kereta di Ipoh

81740151203_PDRM.jpg
Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar, dalam satu kejadian di Jalan Raja Ashman Shah, awal pagi semalam. - Foto hiasan

IPOH: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar, dalam satu kejadian di Jalan Raja Ashman Shah di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki warga tempatan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 1.26 pagi. 

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa membunyikan hon terhadap sebuah motosikal yang ditunggang secara tidak stabil dan hampir memasuki laluannya.

“Akibat daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM1,500,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Muhammad Najib berkata polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30 tahun serta menunggang sebuah motosikal jenis Honda Dash berwarna biru.

“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh sedang dianalisis bagi membantu siasatan, namun nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti dengan jelas,” katanya.

Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial menerusi laman Threads dan Facebook yang memaparkan seorang penunggang motosikal memecahkan cermin hadapan sebuah kereta.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement