Skip to main content

Malaysia

Audit AFC dedah 'barah' lama FAM, reformasi menyeluruh perlu disegerakan - Pakar

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Latihan Sukan Universiti Malaya, Dr Mohamad Faithal Hassan
Mohamad Faithal (foto) mencadangkan supaya pemilihan baharu FAM diadakan secepat mungkin bagi membolehkan proses reformasi dimulakan tanpa menunggu sehingga September. -Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melaksanakan rombakan pentadbiran secara menyeluruh susulan dapatan audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mendedahkan kelemahan sistemik dalam badan induk bola sepak negara itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Latihan Sukan Universiti Malaya, Dr Mohamad Faithal Hassan berpandangan laporan audit berkenaan menunjukkan masalah yang berlaku dalam FAM disifatkan sebagai 'barah', yang berakar umbi sejak sekian lama.

Beliau berkata kelemahan sistemik yang didedahkan AFC juga mencerminkan kewujudan budaya organisasi yang diwarisi daripada satu generasi kepimpinan kepada generasi seterusnya sehingga menjejaskan keupayaan FAM untuk berfungsi secara berkesan.

"Untuk memulihkan FAM, virus barah ini perlu dihentikan atau dibuang dengan melakukan rombakan menyeluruh FAM.

"Agak pelik kita lihat AFC tiba-tiba bersetuju mengembalikan jawatan Presiden Kehormat dalam FAM yang secara peribadi saya lihat, tiada keperluan dan dilihat 'mengganggu' kebebasan Presiden FAM yang akan dilantik untuk mengetuai hala tuju FAM seterusnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

Mohamad Faithal turut mencadangkan supaya pemilihan baharu FAM diadakan secepat mungkin bagi mempercepatkan proses reformasi tanpa perlu menunggu sehingga September.

Beliau berkata individu yang pernah menganggotai kepimpinan terdahulu juga tidak wajar dicalonkan semula bagi memberi ruang kepada pembentukan barisan kepimpinan baharu.

"Kesan negatif dan kemerosotan bola sepak Malaysia telah berlaku selama ini, kerana kalau kita lihat dapatan AFC juga kelemahan sistemik ini telah berlaku sejak beberapa dekad yang lalu.

"Ini disebabkan terdapat dalam 'budaya' FAM yang memilih calon presiden, ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) dan ahli jawatankuasa (AJK) daripada kalangan individu yang berada dalam barisan kepimpinan yang lalu dan ia berlaku secara berterusan," ujarnya beliau.

Katanya lagi, selepas kepimpinan baharu dibentuk, antara tindakan utama yang perlu dilakukan ialah membuka ruang kepada siasatan bebas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengurusan kewangan FAM.

Menurutnya, langkah itu penting memandangkan FAM merupakan antara persatuan sukan yang menerima peruntukan khas kerajaan menerusi belanjawan.

Sementara itu, mengulas isu pemusatan kuasa yang disentuh dalam laporan audit AFC, beliau berkata masalah itu berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan integriti yang akhirnya menjejaskan akauntabiliti dalam organisasi.

Beliau berkata FAM perlu meningkatkan tahap ketelusan dalam proses membuat keputusan selain mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan bagi mengelakkan kuasa tertumpu kepada kelompok tertentu.

Mohamad Faithal turut menegaskan bahawa pengaruh pihak ketiga dalam urusan pentadbiran FAM perlu dihentikan sepenuhnya.

"Apa yang tidak disentuh secara jelas dalam audit AFC ialah isu penglibatan pihak ketiga dalam proses membuat keputusan FAM yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

"FAM perlu menghapuskan sebarang bentuk lantikan, rujukan atau pengaruh pihak ketiga, khususnya mereka yang mempunyai kepentingan dalam pasukan atau kelab di bawah gabungan FAM.

"Peranan penasihat yang boleh mewujudkan konflik kepentingan juga tidak lagi wajar diteruskan," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kelemahan tadbir urus yang didedahkan AFC boleh memberi kesan kepada pembangunan akar umbi, liga domestik, dan prestasi skuad kebangsaan.

Pemilihan kepimpinan baharu FAM dijangka diadakan pada Ogos atau September selepas barisan Exco bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan pada Januari lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement