KUALA LUMPUR: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), dengan sokongan Tourism Malaysia Almaty dan Kedutaan Malaysia di Uzbekistan, berjaya menganjurkan Program Sales Call MyCEB pertamanya dan Seminar Acara Perniagaan Malaysia di Almaty, Kazakhstan pada 2 Jun serta di Tashkent, Uzbekistan pada 4 Jun.
MyCEB melalui satu kenyataan berkata, inisiatif itu menandakan penglibatan acara perniagaan khusus sulung Malaysia di Kazakhstan dan Uzbekistan, mengukuhkan komitmen MyCEB untuk mengembangkan kehadiran negara ini dalam pasaran antarabangsa yang sedang pesat membangun selain meletakkan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan terkemuka di Asia.
“Program itu menghimpunkan wakil daripada industri pelancongan, sektor korporat, penganjur acara dan industri mesyuarat, insentif, persidangan serta pameran (MICE) dari Kazakhstan dan Uzbekistan.
“Penglibatan ini berfungsi sebagai platform khusus bagi mempamerkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan pilihan, menonjolkan keupayaan negara dalam penganjuran mesyuarat antarabangsa, persidangan, pameran dan program pelancongan insentif,” kata kenyataan itu.
Semasa program tersebut, MyCEB membentangkan sorotan mengenai kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan antarabangsa, termasuk infrastrukturnya yang bertaraf dunia, sektor hospitaliti yang moden, ketersambungan antarabangsa yang meluas, cadangan nilai kompetitif dan sokongan kerajaan yang kukuh untuk industri acara perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, Asia Tengah mewakili pasaran pertumbuhan yang menjanjikan kepada industri acara perniagaan Malaysia, dengan penglibatan sulung di Kazakhstan dan Uzbekistan bertujuan mengukuhkan hubungan industri, mewujudkan peluang baharu ke arah kerjasama dan meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk pilihan bagi acara perniagaan antarabangsa di Asia Tenggara.
Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Almaty, Nor Shazly Azmi berkata, dengan disangga oleh infrastruktur moden, sambungan udara yang mantap, sokongan kerajaan dan portfolio pelbagai tempat bertaraf dunia, Malaysia menawarkan kelebihan menarik untuk acara perniagaan dalam semua skala.
“Kazakhstan dan Uzbekistan terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebagai pasaran baru muncul untuk Malaysia. Kesalinghubungan yang lebih baik serta minat yang semakin meningkat di Malaysia menyediakan peluang besar bagi mengukuhkan hubungan pelancongan dan perniagaan antara wilayah-wilayah ini,” katanya.
Menurut MyCEB, program di Almaty itu turut menampilkan persembahan pelancongan oleh Tourism Malaysia Almaty, mempamerkan tawaran pelancongan masa riadah, kemewahan, keluarga dan perniagaan Malaysia ke pasaran Kazakhstan.
“Peserta diperkenalkan dengan pelbagai tawaran acara perniagaan Malaysia, di samping tarikan pengalaman perjalanan riadah yang semakin melonjak yang menggabungkan pelancongan perniagaan dan percutian.
“Seminar itu juga memudahkan rangkaian dan peluang kerjasama masa depan antara pihak berkepentingan industri Malaysia serta Asia Tengah,” katanya.
Program tersebut menonjolkan potensi kerjasama yang semakin bertambah antara Malaysia dan negara-negara di Asia Tengah dalam pelancongan, perdagangan serta penglibatan perniagaan, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kata MyCEB lagi.
-- BERNAMA