Skip to main content

Bisnes

Pendekatan pelbagaikan sumber perkukuh ketahanan bekalan tenaga negara - Amir Hamzah

PETALING JAYA, 6 Jun -- Menteri Kewangan ll Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga,kanan) menyantuni peniaga-peniaga ketika mengadakan lawatan ke Pasar Tani Kelana Jaya hari ini._BERNAMA
Amir Hamzah menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang, di sini hari ini. - Gambar/ Bernama

PETALING JAYA: Kerajaan menggunakan pendekatan good risk management dengan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga bagi memastikan bekalan tenaga negara mencukupi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat-syarikat minyak terus komited untuk mencari sumber bekalan baharu, termasuk dari Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi negara tidak terjejas.

"Ini (sekali gus) bermaksud kita ada hubungan baharu, beberapa bekalan yang masuk mungkin ia datang dari tempat yang lebih jauh dah harganya lebih tinggi sedikit, tetapi yang pentingnya bekalan tenaga dalam negara mencukupi.

"Bagi arang batu, Malaysia terus bergantung sebahagian besarnya kepada Indonesia, selain mengembangkan sumber bekalannya ke negara lain, termasuk Amerika Syarikat dan Australia.

"(Ini) sekali gus mengurangkan kebergantungan pada satu sumber dan mengukuhkan keselamatan bekalan secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang, di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu merupakan langkah pengurusan risiko yang baik apabila sebarang gangguan di sesuatu negara pembekal, Malaysia masih mempunyai pilihan untuk meningkatkan bekalan daripada sumber lain.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Program Mikro Kredit Turun Padang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro menerusi pendekatan libat urus secara langsung bersama penjaja dan peniaga kecil di pasar tani seluruh negara.

Menurut MOF program itu menyediakan platform bagi mendekati usahawan mikro di peringkat komuniti, memahami  cabaran  yang  dihadapi  serta  menyalurkan  maklumat  mengenai  pelbagai kemudahan  pembiayaan,  bantuan  perniagaan  dan  program  pembangunan  kapasiti  yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.

"(Ia juga bagi) mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan, mengembangkan operasi perniagaan serta membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing," menurut kenyataan itu.

Agensi pelaksana yang terlibat dalam program itu adalah Bank Simpanan Nasional (BSN),  Agrobank,  Bank  Rakyat,  Amanah  Ikhtiar  Malaysia  (AIM),  Suruhanjaya  Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN Nasional, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Amanah Rakyat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement