Skip to main content

Dunia

Presiden Palestin beri amaran serangan penduduk haram Israel ancam kestabilan serantau

71711779147_TBMahmoudAbbas.jpg
Abbas (foto) dalam kenyataan dibaca jurucakap Nabil Abu Rudeineh berkata peningkatan serangan secara sistematik itu mengancam usaha antarabangsa yang bertujuan mencapai kestabilan di rantau berkenaan. -Gambar fail

RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas pada Jumaat memberi amaran mengenai ancaman yang semakin meningkat susulan serangan penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di bandar, pekan dan kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan, jurucakap Presiden Nabil Abu Rudeineh berkata peningkatan serangan secara sistematik itu mengancam usaha antarabangsa yang bertujuan mencapai kestabilan di rantau berkenaan.

Beliau meletakkan tanggungjawab ke atas pihak berkuasa Israel terhadap kesan buruk daripada apa yang disifatkannya sebagai serangan pengganas yang dilakukan oleh penduduk haram di bawah perlindungan dan sokongan tentera Israel, sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada dasar lebih luas yang direka untuk memaksakan keadaan sedia ada dan mengukuhkan pendudukan. 

Abu Rudeineh berkata rantau itu akan terus berdepan peperangan berulang dan ketidakstabilan selagi penyelesaian menyeluruh serta adil terhadap isu Palestin tidak dicapai berasaskan resolusi legitimasi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa, sekali gus memenuhi aspirasi rakyat Palestin untuk kebebasan dan kemerdekaan menerusi sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya pentadbiran Amerika Syarikat, supaya campur tangan segera dan mendesak Israel menghentikan dasar agresifnya, menghentikan semua bentuk aktiviti penempatan haram di tanah Palestin serta menamatkan keganasan penduduk haram Israel.

Jurucakap presiden itu menegaskan rakyat Palestin akan terus berpegang teguh pada tanah air dan hak nasional sah mereka, serta dasar keganasan dan penjajahan tidak akan berjaya mematahkan semangat atau memaksa mereka meninggalkan aspirasi untuk kebebasan dan kemerdekaan.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video

Advertisement