Skip to main content

Dunia

Zoo Taipei terima dua panda merah dari Shanghai

Taiwan Red Panda
Kemasukan haiwan terancam itu melibatkan seekor panda jantan berusia tiga tahun dan seekor panda betina berusia dua tahun, yang direalisasikan menerusi memorandum persefahaman (MoU) semasa Forum Bandar Berkembar Shanghai-Taipei 2024. -Gambar fail

TAIPEI: Zoo Taipei hari ini menerima sepasang panda merah dari Zoo Shanghai, sekali gus menandakan pertukaran rasmi haiwan pertama antara Taiwan dan China dalam tempoh lebih sedekad.

Kemasukan haiwan terancam itu melibatkan seekor panda jantan berusia tiga tahun dan seekor panda betina berusia dua tahun, yang direalisasikan menerusi memorandum persefahaman (MoU) semasa Forum Bandar Berkembar Shanghai-Taipei 2024.

Sebagai sebahagian daripada program kerjasama pembiakan dan pemeliharaan biodiversiti, Zoo Taipei dijangka menghantar beberapa ekor ungka tangan putih ke Shanghai sebagai pertukaran.

Pihak pengurusan zoo memaklumkan kedua-dua haiwan tersebut berada dalam keadaan sihat sejurus tiba awal pagi tadi sebelum dipindahkan ke fasiliti kuarantin khas selama sebulan.

Menurut mereka, panda jantan menunjukkan tingkah laku aktif dengan segera meneroka ruang baharu dan makan, manakala panda betina kelihatan lebih berhati-hati dan pemalu.

Tempoh kuarantin itu bertujuan memantau status kesihatan sebelum kedua-duanya dipindahkan ke zon haiwan beriklim sederhana untuk diperkenalkan kepada pengunjung menjelang awal Julai.

Kali terakhir Zoo Taipei menerima panda merah dari China adalah pada 2014 melalui program kerjasama serupa dengan sebuah zoo di wilayah Fujian.

Pertukaran peringkat bandar ini diteruskan walaupun hubungan antara Beijing dan Taipei kekal tegang, sekali gus mencerminkan kerjasama terhad dalam bidang bukan politik seperti pemuliharaan hidupan liar.

 

Must Watch Video

Advertisement