Skip to main content

Dunia

Kereta api penumpang New Zealand tergelincir, 8 cedera

41691058871_RailwayTrack.jpg
Rakaman di lokasi menunjukkan beberapa gerabak mengalami kerosakan, manakala kawasan kejadian ditutup pihak polis bagi membolehkan siasatan dijalankan. -Gambar hiasan

WELLINGTON: Sekurang-kurangnya lapan orang cedera selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir dari landasan di Wellington, ibu negara New Zealand, pada Sabtu.

Pihak berkuasa memaklumkan insiden tersebut berlaku sekitar jam 7.20 malam waktu tempatan (3.20 waktu Malaysia) berhampiran Stesen Khandallah di kawasan pinggir bandar.

Pasukan penyelamat daripada Biro Bomba dan Kecemasan New Zealand (FENZ) segera dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan penumpang dari gerabak.

Jurucakap Wellington Free Ambulance mengesahkan lapan mangsa dibawa ke Hospital Wellington bagi mendapatkan rawatan, dengan pelbagai tahap kecederaan dilaporkan.

Saksi kejadian, termasuk Ahli Majlis Bandaraya Wellington Diane Calvert, berkata mereka terdengar bunyi dentuman kuat seakan guruh yang menggegarkan kawasan sekitar ketika insiden berlaku.

Rakaman di lokasi menunjukkan beberapa gerabak mengalami kerosakan, manakala kawasan kejadian ditutup pihak polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Susulan kejadian, operator pengangkutan awam Metlink memaklumkan perkhidmatan kereta api bagi Laluan Johnsonville digantung buat sementara waktu dan digantikan dengan perkhidmatan bas.

Pihak berkuasa termasuk KiwiRail dan Transdev kini menjalankan penilaian di lokasi, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

 

Must Watch Video

Advertisement