Skip to main content
Advertisement

Malaysia

72 pekerja asing ditahan dalam op bersepadu di kawasan medan selera

81706943510_TBImigresen.jpg
Kesemua ditahan terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, Indonesia (empat lelaki, 10 wanita), Vietnam (tiga lelaki, 37 wanita) dan seorang wanita China. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 72 pekerja asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di sebuah kawasan medan selera sekitar bandar raya ini, Jumaat lepas.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi itu dijalankan bermula 8 malam dengan disertai anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata kesemua ditahan terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, Indonesia (empat lelaki, 10 wanita), Vietnam (tiga lelaki, 37 wanita) dan seorang wanita China, yang bekerja sebagai pelayan restoran serta tukang masak berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun.

"Pemeriksaan menyeluruh dijalankan terhadap pekerja dan majikan tanpa sebarang kompromi. Hasilnya, kita berjaya mengesan mereka yang bekerja tanpa pas sah serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak lima keping borang 29, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan agensi-agensi penguat kuasa dalam memperkukuh kawalan keselamatan, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement