Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pembangunan Lembangan Sungai Golok buka ruang kerjasama Malaysia-Thailand

51735562815_TBSUNGAIGOLOK.jpg
Kabinet Thailand dilaporkan meluluskan projek alam sekitar bersama-sama Malaysia yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan keselamatan air dan memulihkan ekosistem di Lembangan Sungai Golok. - Gambar fail

KOTA BHARU: Kelulusan projek pembangunan Lembangan Sungai Golok oleh Thailand membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Thailand dalam menangani risiko banjir, keselamatan air serta pemulihan ekosistem di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata Malaysia turut mempunyai hasrat untuk melaksanakan pembangunan berkaitan di kawasan itu namun perkara tersebut masih dalam peringkat perancangan.

“Kerajaan akan terus berhubung dengan Thailand bagi memastikan sebarang perancangan pembangunan melibatkan Lembangan Sungai Golok dapat diselaraskan memandangkan ia membabitkan kepentingan kedua-dua negara,” katanya

Raja Nushirwan berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat MKN di Kompleks Kota Darulaim di sini hari ini.

Sebelum ini, Kabinet Thailand dilaporkan meluluskan projek alam sekitar bersama-sama Malaysia yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan keselamatan air dan memulihkan ekosistem di Lembangan Sungai Golok.

Inisiatif itu menerima pembiayaan sebanyak US$4 juta (RM15.9 juta) daripada Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) dan akan dilaksanakan dalam tempoh 48 bulan dengan sokongan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Projek berkenaan dibangunkan secara bersama-sama oleh Pejabat Sumber Air Kebangsaan Thailand dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia bagi memperkukuh pengurusan sumber air rentas sempadan.

Raja Nushirwan berkata pembangunan Lembangan Sungai Golok bukan sahaja penting dalam aspek pengurusan banjir dan alam sekitar, malah mempunyai implikasi terhadap kesejahteraan penduduk serta pembangunan kawasan sempadan kedua-dua negara.

Projek itu turut merangkumi pembangunan pangkalan data bersama-sama, penilaian risiko banjir dan kemarau serta penyediaan pelan tindakan strategik bersama bagi lembangan sungai itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement