Skip to main content

Dunia

Kes influenza Australia turun 65 peratus, pakar gesa vaksinasi

81659462679_vaksinasisarawak.jpg
ACDC mengaitkan penurunan itu dengan “peningkatan imuniti dalam populasi” susulan “aktiviti influenza yang tinggi” tahun lalu serta pengurangan kes import influenza dari luar negara. - Gambar hiasan

MELBOURNE: Kes influenza yang direkodkan di Australia merosot 65 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, namun pakar penyakit berjangkit menggesa orang ramai supaya tidak memandang rendah risiko penyakit itu, lapor Xinhua.

Pusat Kawalan Penyakit Australia (ACDC) menerusi laporan pemantauan pernafasan terkininya yang dikeluarkan pada Jumaat memaklumkan sebanyak 33,071 kes influenza dikesan antara 1 Jan hingga 31 Mei 2026, menurun daripada 96,422 kes dalam tempoh sama pada 2025, tahun influenza paling maut abad ini dengan 1,701 kematian berkaitan penyakit itu.

ACDC mengaitkan penurunan itu dengan “peningkatan imuniti dalam populasi” susulan “aktiviti influenza yang tinggi” tahun lalu serta pengurangan kes import influenza dari luar negara.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran supaya orang ramai tidak berada dalam “rasa selamat yang palsu”, sambil menyatakan strain influenza Super-K yang mudah merebak masih menyumbang sebahagian besar jangkitan. Menurut ACDC, kes influenza meningkat 15 peratus pada penghujung Mei, manakala virus respiratori sinsitial (RSV) kini mendominasi kemasukan ke hospital.

Kadar vaksinasi influenza kekal rendah, dengan liputan setakat ini pada 2026 sekitar 16 peratus dalam kalangan orang dewasa berusia 18 hingga 49 tahun dan 52 peratus bagi individu berusia 65 tahun ke atas, menurut Daftar Imunisasi Australia.

Ahli epidemiologi Universiti Deakin Catherine Bennett berkata peningkatan imuniti mungkin melambatkan kemuncak musim influenza ke penghujung tahun, sekali gus memberi lebih masa untuk usaha vaksinasi, menurut Australian Broadcasting Corporation.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement