Skip to main content

Malaysia

Hospital Segamat perlu tambahan 49 doktor

SEGAMAT, 25 Feb -- Bangunan tambahan Hospital Segamat bernilai RM90.5 juta ini dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta satu Unit Hirdodinamik dan Respirator (RHU).  Bangunan yang telah dibina sejak April 2018 dan akan dibuka kepada orang ramai. Blok tambahan Hospital Segamat ini akan dapat memperluaskan lagi perkihdamatanya sekaligus menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah Segamat.  --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hospital Segamat memerlukan 169 doktor bagi memenuhi keperluan semasa, berbanding 120 doktor yang bertugas ketika ini termasuk pakar dan pegawai perubatan. -Gambar fail/Bernama

JOHOR BAHRU: Hospital Segamat memerlukan tambahan 49 doktor, khususnya membabitkan jawatan Pegawai Perubatan (MO) bagi membolehkan sistem perkhidmatan kesihatan dapat beroperasi secara lebih ideal. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata hospital itu memerlukan 169 doktor bagi memenuhi keperluan semasa, berbanding 120 doktor yang bertugas ketika ini termasuk pakar dan pegawai perubatan.

Beliau berkata khidmat petugas kesihatan itu amat diperlukan lebih-lebih lagi untuk mengendalikan pelbagai perkhidmatan serta jabatan yang sebahagiannya beroperasi 24 jam sehari.

"Bagaimanapun, petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, namun kekurangan tenaga kerja menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama dan beberapa janji temu terpaksa dijadualkan semula," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ling turun padang ke Hospital Segamat pagi tadi selepas menerima banyak maklum balas daripada masyarakat mengenai kekurangan petugas kesihatan yang menyebabkan tempoh menunggu di beberapa jabatan menjadi lebih panjang.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memohon bantuan penempatan tambahan petugas kesihatan ke Hospital Segamat. 

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan Hospital Segamat akan ditutup mulai 1 Julai seperti yang tular menerusi media sosial. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement