KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menempatkan tiga pegawai perubatan tetap dan dua secara sementara di Hospital Lahad Datu, bulan depan.
Menurut kenyataan JKNS hari ini, jabatan itu mengambil maklum secara serius mengenai isu kekurangan pegawai perubatan yang dihadapi di hospital berkenaan pada masa ini.
"Tindakan pantas ini adalah mustahak bagi menjamin kelangsungan operasi klinikal dan perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu agar tidak terjejas," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, beberapa langkah proaktif merangkumi beberapa strategi yang telah dan akan segera dilaksanakan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit di daerah tersebut terus terpelihara,
Strategi itu menumpukan kepada pelaksanaan mobilisasi pegawai perubatan melalui pendekatan kluster melibatkan bantuan hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau.
JKNS juga akan memberi keutamaan agihan pegawai perubatan kontrak kepada fasiliti yang mengalami kekurangan kritikal pada pengambilan terdekat serta memperkasakan kawalan perpindahan keluar bagi menjamin kestabilan tenaga kerja dan kelangsungan perkhidmatan kepakaran.
Sementara itu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) Datuk Julita Majungki berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata perkara yang perlu diutamakan ialah memastikan gangguan kepada perkhidmatan kesihatan dapat diminimumkan khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan penjagaan rapi.
“Pada masa sama, isu tenaga kerja kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja melibatkan penempatan pegawai tetapi juga keperluan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman di fasiliti yang berdepan tekanan perkhidmatan yang tinggi,” katanya.
-- BERNAMA