HAMILTON (KANADA): Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyatakan ia telah menyerang "pangkalan musuh" di Kuwait dan Bahrain selepas dron Amerika Syarikat (AS) menyerang beberapa tapak di wilayah Iran, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik Tasnim News pada Sabtu.
Menurut agensi berita separa rasmi itu, Pasukan Aeroangkasa IRGC menyasarkan pangkalan udara Ali al-Salem di Kuwait dan kemudahan utama Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain dengan peluru berpandu balistik.
IRGC menyatakan bahawa serangan berkenaan adalah sebagai tindak balas terhadap serangan dron Amerika ke atas sebuah menara telekomunikasi di Pulau Qeshm dan sebuah menara di Sirik.
Ia turut memberi amaran bahawa pencerobohan lanjut akan mencetuskan tindak balas yang lebih besar daripada sekadar serangan terhad, termasuk penutupan sepenuhnya Selat Hormuz terhadap penghantaran minyak dan gas, sekali gus menggugat pasaran tenaga global dan mencetuskan kebimbangan terhadap kesan ekonomi yang berpanjangan.
Ketegangan serantau semakin memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada akhir Februari lalu, mencetuskan rantaian serangan balas yang meluaskan ketidakstabilan di seluruh wilayah berkenaan.
Sebagai tindak balas, Iran kemudiannya melancarkan serangan terhadap Israel dan menyasarkan negara yang menempatkan pangkalan tentera AS, di samping turut mengganggu laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, yang merupakan laluan kritikal bagi bekalan tenaga global.
Gencatan senjata kemudiannya berkuat kuasa, walaupun usaha diplomatik untuk mencapai persetujuan yang lebih luas masih diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU