JOHOR BAHRU: Parti Progresif Penduduk (PPP) berhasrat untuk bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presiden PPP Malaysia Datuk Dr J.Loga Bala Mohan.
Beliau berkata perkara itu telah disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu pertemuan semalam, namun menegaskan PPP akan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh kepimpinan gabungan berkenaan.
“Kami bagi Menteri Besar (Onn Hafiz) ruang untuk buat keputusan. Kita ada persefahaman dengan mereka (BN) dan kita akan selesaikan secara konsensus, kami tidak akan membuat sebarang tuntutan (sekiranya tidak diberi kerusi),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PPP kali keenam, di sini hari ini.
Loga Bala Mohan yang akan mengetuai jentera PPP di Johor berkata parti itu akan membantu Barisan Nasional (BN), sepanjang kempen PRN berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PPP turut berhasrat bertanding di dua kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih belum dibincangkan dengan kepimpinan BN Negeri Sembilan dan akan dirundingkan pada peringkat seterusnya.
-- BERNAMA