BATU PAHAT: Malaysia berpotensi memperoleh akses kepada zon telaga gas yang disifatkan antara terbesar di dunia menerusi rundingan yang melibatkan syarikat petroleum negara, Petronas dengan Turkmenistan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata peluang berkenaan amat penting kepada Malaysia dan memerlukan penglibatan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dalam proses pemeteraian perjanjian yang dirancang.
“Ada delegasi (akan) ke Turkmenistan (pada pertengahan Jun), saya beritahu kepada Petronas, ‘Jangan (sebab) pilihan raya lagi, nak ke sana perlu pergi dua hari’.
“Tetapi, kalau saya pergi, jaminan daripada Turkmenistan, insya-Allah Petronas akan dapat zon telaga gas antara yang terbesar di dunia,” kata beliau ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di sini, malam ini.
Anwar berkata meskipun jadual beliau padat dengan pelbagai urusan termasuk pilihan raya negeri, kepentingan strategik negara dalam sektor tenaga memerlukan komitmen berterusan kerajaan untuk meneroka peluang baharu pada peringkat antarabangsa.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global, di samping menjamin keselamatan bekalan tenaga negara pada masa hadapan.
Mengulas tentang lawatan ke negara di Asia Tengah itu, Anwar mengakui bahawa beliau kini bukan lagi seorang lelaki muda dan tidak gemar untuk melakukan perjalanan jauh seperti sebelum ini, namun menganggap tugas itu sebagai satu pengorbanan yang mesti diambil.
“Tetapi untuk negara, saya tidak ada pilihan. Saya pergi juga (Turkmenistan), dan mudah-mudahan kita dapat simpanan gas yang besar di rantau ini," kata Anwar.
Perdana Menteri berharap komitmen dan pengorbanan merentasi jadual yang padat itu akan membuahkan hasil yang besar kepada sektor tenaga negara kelak.
Anwar berkata usaha dan komitmen berkenaan digerakkan secara khusus bagi membantu pembangunan dan ekonomi negara termasuk di Johor.
-- BERNAMA