PUCHONG: Kerajaan Madani akan terus memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat meskipun berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus terhadap agenda ekonomi dan kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan semua pihak.
Menurut beliau, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi yang menyentuh mengenai persediaan parti menjelang PRN di Johor dan Negeri Sembilan.
“Saya menyeru rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan untuk tumpu soal ekonomi dan masalah rakyat.
"Biar kita tumpu dan betul-betul pulihkan keadaan terlebih dahulu, kemudian barulah pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Meranti, Puchong, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar mengakui perkembangan politik semasa khususnya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menyebabkan persiapan pilihan raya perlu dilakukan lebih awal dari jangkaan.
“Tetapi oleh kerana Johor mahu disegerakan, jadi kita terpaksa melalui proses itu,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR berkata, mesyuarat Biro Politik parti turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh jentera parti bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRN di kedua-dua negeri tersebut.
Dalam pada itu, jelas beliau, persiapan yang rapi penting bagi memastikan parti berada dalam keadaan bersedia apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa persiapan politik tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kerajaan dalam mengurus ekonomi serta membantu rakyat yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.
“Keutamaan kita tetap untuk memastikan masalah rakyat ditangani dan ekonomi negara terus berada pada landasan yang kukuh,” katanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu, yang membuka laluan kepada pelaksanaan PRN dalam tempoh 60 hari.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pula mengumumkan pembubaran DUN negeri itu malam tadi.